Kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti Islam itu mahu memimpin Selangor selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) disifatkan sebagai angkuh selain mengkhianati kerajaan Selangor.

Setiausaha AMK Selangor Syed Badli Syed Osman berkata, PAS seharusnya mempertahankan pentadbiran sedia ada selaras dengan hasrat Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengekalkan keharmonian dan muafakat dalam kerajaan negeri.

“Malangnya hari ini Presiden PAS menyebut tanpa selindung bahawa mereka ingin mengetuai pemerintahan kerajaan negeri Selangor selepas PRU14.

“Kenyataan ini seolah-olah menidakkan muafakat kerjasama antara PAS dan parti-parti komponen lain yang bergabung membentuk kerajaan di negeri Selangor sekian lama.

“Malah kenyataan ini juga ibarat mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan kepada PAS untuk sama-sama memperkukuh pentadbiran kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan media.

Semalam Abdul Hadi pada sidang media di Perhimpunan Fastaqim 2.4 di Shah Alam memberitahu wartawan bahawa PAS merancang untuk membentuk kerajaan di Selangor, tetapi sedang memikirkan berapa kerusi yang akan ditandinginya.

Ketika ditanya siapa yang akan menjadi calon pilihan PAS sebagai menteri besar Selangor, Abdul Hadi berkata ia masih terlalu awal untuk diputuskan sebelum pilihan raya umum.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here