Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Zuhdi Marzuki menyifatkan tindakan  Pas meletakkan kemenangan minima 40 kerusi daripada 130 Parlimen sebagai tapak bagi mencipta keputusan upset atau luar jangkaan.

Menurutnya, sasaran ini bukan mudah tapi tidak mustahil jika jentera Pas berusaha dengan strategi yang betul.

“Dulu Pas hanya bertanding 30 kerusi Parlimen tetapi kali ini, kita bertanding 130 kerusi dengan menyasarkan menang 112 kerusi dan paling minima kena menang adalah 40 kerusi termasuk di Selangor.

“Bagaimanapun sebagai parti yang realistik, kita sedar diri maka sasaran menang minima ini adalah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya pada ceramah umum Pas memimpin kerajaan baru Selangor selepas PRU14, malam tadi.

Hadir sama, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Zuhdi berkata, PRU14 bakal menyaksikan pertandingan lebih dua penjuru membabitkan tiga gabungan politik iaitu BN, Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera.

Menurutnya, tiga gabungan politik itu berkemungkinan gagal membentuk kerajaan sekiranya bersendirian.

“Katakan Pas menang 40 kerusi (sasaran minima), BN menang 100 dan Harapan menang 82, maka masing-masing tidak boleh bentuk kerajaan.

“Pas akan jadi seperti anak dara pingitan kerana bakal penentu sama ada kekal jadi pembangkang yang kuat atau bersama bentuk kerajaan,” katanya.

Zuhdi berkata, Pas mempunyai kekuatan di Selangor dengan sejumlah keahlian di 22 kawasan selain menjalin hubungan baik dengan parti kecil lain seperti Parti Cinta Malaysia (PCM).-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here