Di negeri Sabah sokongan kuat rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Rakyat di negeri berkenaan jelas faham mengenai keperluan untuk terus mengekalkan BN sebagai parti memerintah. Sukar untuk kita melihat parti pembangkang mampu mencabar keadaan ini dan jelas rakyat di Sabah tidak mempercayai mana-mana parti lain mampu meninggalkan legasi positif seperti dilakukan BN di Sabah. Namun begitu, baru-baru ini wujud Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang sebenarnya timbul sebagai sebuah parti orang-orang kecewa.

Parti orang-orang kecewa seperti WARISAN ini tidak mempunyai matlamat perjuangan yang jelas dan hanya bergantung kepada isu-isu kitar semula yang tidak mempunyai manfaat besar serta tidak meninggalkan apa-apa kesan terhadap sokongan rakyat kepada BN. Malah parti seperti WARISAN ini boleh dianggap sebagai parti yang digunakan sebagai jalan untuk menghidupkan kerjaya sesetengah pemimpin politik. Suara rakyat digunakan semata-mata untuk keuntungan politik bersifat peribadi.

WARISAN kononnya mahu berdiri sebagai sebuah parti bersifat tempatan yang mendokong keperluan rakyat Sabah. Malah parti ini menonjolkan pelbagai janji manis tentang hak-hak warga Sabah. Bercakap tentang hak warga Sabah ini merupakan satu ruang paling baik untuk dieksploitasi oleh WARISAN dan ini digunakan sebaik mungkin untuk meraih sokongan. Namun begitu, rakyat di Sabah tidak mudah diperdaya dengan janji-janji kosong tanpa asas. Malah rakyat negeri Sabah juga tidak rela memperjudi nasib memberi sokongan kepada parti yang tidak mempunyai masa depan seperti WARISAN.

Parti WARISAN ini dianggap sebagai parti yang tidak mempunyai ketetapan dalam perjuangan dan ini dapat dilihat pada hal-hal kecil yang tidak dapat dimuktamadkan dengan baik. Ini termasuk hal berkaitan slogan parti berkenaan yang berubah-ubah. Hal ini walaupun dilihat kecil, tetapi merupakan satu keperluan untuk membuktikan saluran perjuangan dapat dikendalikan dengan baik. Tetapi WARISAN seperti parti-parti pembangkang lain, gagal menguruskan organisasi dengan kukuh dan berkualiti.

Baru-baru ini WARISAN sekali lagi menimbulkan pertanyaan apabila mewujudkan aplikasi melalui telefon pintar yang dikatakan amat penting bagi membolehkan sebarang maklumat perjuangan dapat disalurkan dengan lebih pantas kepada rakyat dan penyokong parti berkenaan. Namun satu hal yang paling menghairankan ialah terdapat juga di dalam aplikasi berkenaan ialah fungsi untuk memohon sumbangan dana daripada orang ramai untuk parti berkenaan.

Meminta sumbangan untuk membiayai parti bukanlah satu perkara asing, namun meminta sumbangan dari rakyat biasa, sedangkan ramai mengetahui bagaimana cara hidup dan kekayaan pemimpin WARISAN boleh membuatkan hal meminta sumbangan oleh parti ini menimbulkan tanda tanya. Bagaimana rakyat boleh mempercayai sebuah parti itu boleh membawa kemakmuran, sedangkan parti berkenaan juga bergantung kepada sumbangan rakyat untuk bergerak.

Helah daripada WARISAN ini sukar untuk diterima dan sewajarnya rakyat tidak wajar untuk disusahkan dalam hal-hal seperti ini. Pengundi di Sabah juga kini bijak untuk menilai bagaimana WARISAN ini wajar diletakkan dalam pilihan raya umum akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here