Di dalam Pakatan Harapan (PH), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merupakan parti paling ‘muda’ berdasarkan kepada tahun penubuhannya berbanding dengan parti-parti lain di dalam gabungan pembangkang berkenaan. Walaupun muda dari segi usia, namun PPBM didominasi oleh pemimpin-pemimpin berusia dan bekas ahli UMNO. Parti ini sebenarnya bercita-cita besar mahu menjadi alternatif kepada orang Melayu untuk tidak memilih UMNO.

Walaupun cuba menjadi pilihan lain kepada orang Melayu dengan menampilkan rupa perjuangan Melayu, namun PPBM bukanlah sebuah parti yang boleh diharapkan secara tulus untuk membantu dan mengangkat agenda kemajuan Melayu. Parti ini cuma parti yang ditubuhkan oleh orang-orang kecewa yang tersingkir, tetapi masih menanam cita-cita tinggi untuk kerjaya politik masing-masing. Sebagai menunjukkan dominasinya PPBM dilihat menonjolkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan menggunakan sisa-sisa pengaruh yang ada pada bekas Perdana Menteri itu untuk menggerakan sokongan terhadap parti ini.

Hakikat yang harus kita semua faham, PPBM bukanlah sebuah parti yang kukuh dan sebenarnya di luar kemampuan mereka untuk memiliki kekuatan organisasi seperti UMNO. Untuk menjadi seperti UMNO, pengalaman berdiri sebagai parti dengan dokongan besar-besaran amat diperlukan. Ini tidak ada pada PPBM. Parti ini sebenarnya bukan berdiri atas dokongan massa, sebaliknya berdiri atas sokongan dan kemampuan pemimpin-pemimpin elit.

Saban waktu kita dapat membaca pelbagai berita tentang krisis kepimpinan yang berlaku dalam parti ini, malah corak pentadbiran parti juga menimbulkan kerungsingan sebilangan besar ahlinya sendiri. PPBM telah diberikan kepercayaan oleh PH untuk bertanding di 52 kerusi di Semenanjung. Ini menjadikan PPBM sebagai parti paling banyak mendapat kerusi walaupun usianya yang paling ‘muda’. Dalam percaturan politik bertanding dengan jumlah kerusi yang banyak bukanlah penentu sesebuah parti itu kuat atau tidak. Aspek paling utama yang perlu dinilai ialah nisbah kemenangan atau winning ratio. Apakah PPBM memiliki nisbah kemenangan yang tinggi?

Persoalan ini sudah mempunyai jawapan untuk dileraikan. Jawapannya tidak. PPBM tidak mempunyai nisbah kemenangan yang munasabah. Perkiraan politik PPBM dalam pilihan raya umum kali ini jelas sangat tersasar. Mereka sebenarnya terlalu benar mahu bersaing dengan UMNO, sehingga terlupa tentang kemampuan sendiri. Sikap tamak ini ternyata bakal memakan diri PPBM, malah selepas pilihan raya umum akan datang, nasib parti ini juga dilihat kelabu dan tidak menentu.

Berasaskan kepada beberapa kajian dan penelitian yang dibuat oleh kebanyakan penganalisis politik termasuk institusi akademik dan pemerhati luar mendapati jumlah kerusi paling banyak yang boleh dimenangi PPBM tidak sampai 10 kerusi dan itu ialah jumlak maksimum yang dijangka dapat dicapai. Malah majoriti penganalisis berpandangan PPBM merupakan parti paling sedikit menang dalam pilihan raya umum akan datang. Ini hakikat yang harus ditelan dan PPBM sebenarnya sedang menjual mimpi kepada rakyat, mimpi pemimpin mereka yang terus memasang angan-angan untuk menyambung hayat politik sendiri.

Jika berpijak pada bumi yang nyata, PPBM ialah lawan paling lemah dalam kalangan parti pembangkang dan pengundi yang bijak sudah tentu faham permainan tamakkan kerusi ini hanya satu angan-angan yang tiada kesudahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here