Dewan Rakyat hari ini menolak usul tergempar yang dibentangkan oleh N Surendran (PKR-Padang Serai) untuk membahaskan pembebasan pemimpin pembangkang yang kini dipenjarakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata keputusannya itu atas dasar bahawa mahkamah telah membuat keputusan mengenai kes Anwar.

Menurutnya, beliau mendapati bahawa sabitan dan hukuman telah diputuskan selepas proses undang-undang yang adil di mahkamah. Justeru, tahanan Anwar di Penjara Sungai Buloh adalah perintah yang sah, kata Pandikar melalui sepucuk surat.

Surendran yang tidak berpuas hati pada sidang hari ini yang dipengerusikan oleh timbalan speaker Datuk Ronald Kiandee, kemudian membentangkan usul tergempar itu.

Ini selepas Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia (APHR) mengeluarkan kenyataan pada 6 November lalu, yang menuntut agar Anwar dibebaskan tanpa syarat.

“Saya kagum (dengan) jawapan yang diberi oleh tuan Speaker dalam menolak usul adalah bahawa perkara ini telah diputuskan oleh mahkamah.

“Kalau diputus oleh mahkamah, maka boleh dibincang, hnaya masih berjalan di mahkamah, tidak boleh dibincang, subjudis.

“Saya minta klarifikasi kenapa usul ini ditolak,” katanya.

Walau bagaimanapun, Ronald enggan melayannya, sambil berkata keputusan speaker adalah muktamad.

“Keputusan ini ada unsur berat sebelah, jika kita tidak boleh membahaskan perkara ini di Dewan, di mana lagi boleh kita lakukan?

“Di luar, mereka kata (ini termasuk di bawah) Akta Hasutan.

“Setiap kali kita bawa usul untuk mengkritik kerajaan, ia ditolak. Ia menunjukkan unsur berat sebelah,” kata Surendran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here