Pemimpin Veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang dalam satu kenyataan rasmi telah memberikan satu cadangan yang disifatkan pelik dan tidak masuk akal apabila meminta YAB Perdana Menteri untuk mengadakan sidang khas Parlimen selama tiga hari bagi membahaskan isu berkaitan 1MDB.

Lebih menghairankan, Kit Siang turut mencadangkan agar imuniti Parlimen diketepikan untuk sesi berkenaan dan individu penting yang sering dikaitkan dengan isu 1MDB, Jho Low turut dijemput hadir dan perlu bersedia menjawab soalan daripada Ahli Parlimen pada persidangan berkenaan.. Beliau menggesa sidang itu diadakan dari 24 hingga 26 Julai 2017.

Kit Siang berpandangan sesi berkenaan akan membuatkan segala spekulasi, fitnah dan khabar angin berkaitan 1MDB dapat dihapuskan serta-merta. Selain dapat memastikan nama YAB Perdana Menteri dapat dibersihkan. Kit Siang menggunakan contoh keberanian Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong untuk mengadakan sidang khas Parlimen di negara Republik itu untuk menjawab isu berkaitan pertikaian adik-beradik yang menjejaskan pentadbiran Perdana Menteri berkenaan.

Terdapat beberapa aspek negatif yang boleh diterokai apabila kita meneliti cadangan Kit Siang ini. Pertama ini hanya satu helah pembangkang untuk menjerat dan mengheret YAB Perdana Menteri dan keseluruhan institusi Parlimen bagi membincangkan sesuatu isu yang sebenarnya sudah dijawab berkali-kali oleh pihak Kerajaan. Cadangan ini merupakan satu usaha terbesar untuk memanipulasi keadaan dan memastikan rakyat terpedaya dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas dalam isu IMDB.

Selain itu, Kit Siang juga dilihat tidak memahami tatacara pengurusan Parlimen apabila sebarang sidang khas Parlimen hanya akan dipanggil oleh Speaker apabila mendapati terdapat keperluan untuk berbuat demikian. Selain itu, sidang berkenaan juga perlu diuruskan dengan teratur termasuk penyediaan notis mengikut masa dan sebagainya.

Cadangan ini juga dilihat sebagai satu penghinaan terhadap kemuliaan institusi Parlimen negara ini apabila Kit Siang mencadangkan untuk imuniti Parlimen diketepikan dan memanggil seseorang bukan Ahli untuk menjawab persoalan di dalam Dewan yang mulia itu. Ini jelas melanggar protokol dan peraturan sedia ada Parlimen. Institusi ini bukan mahkamah dan jelas perlu wujud keterasingan di antara institusi kehakiman, Parlimen dan pentadbiran. Pengasingan kuasa ini merupakan sesuatu perkara yang dijamin dalam Perlembagaan dan adakah Kit Siang sebagai seorang ahli politik veteran tidak memahami perkara ini.

Apa yang dibuat Kit Siang ini satu tindakan terdesak untuk mengalih tumpuan umum terhadap isu pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP seperti yang diminta oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS). Jelas sekali apabila terdapat kekalutan dalaman, DAP cuba mengalih isu dan menghalakan kembali serangan kepada pihak Kerajaan dengan harapan rakyat dapat melupakan kemelut dalaman parti berkenaan.

Cadangan Kit Siang ini lebih kepada memburuk-burukkan institusi Parlimen dan merendah-rendahkan martabat serta fungsinya. Pihak Kerajaan tidak wajar untuk melayan cadangan yang tempang seperti ini kerana terdapat tugas yang lebih besar berbanding tunduk kepada idea tidak masuk akal ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here