Walaupun mendapat sambutan hangat dan mencatat kutipan pecah panggung di India, filem dibintangi aktres Bollywood Anushka Sharma, Pari: Not A Fairytale, tidak mendapat laluan di negara jirannya, Pakistan.

Menurut Lembaga Penapis Filem Pakistan, Pari: Not A Fairytale diharamkan tayangannya kerana menggalakkan amalan ilmu hitam, selain dianggap mengandungi nilai-nilai bertentangan Islam serta membawa sentimen antimuslim.

Badan berkenaan juga tidak membenarkan naskah bergenre seram itu menemui peminat di pawagam kerana mengandungi jujukan tidak menyenangkan dipetik dari ayat al-Quran.

“Filem itu bukan saja mencampuradukkan ayat al-Quran dengan mentera Hindu tetapi turut menggambarkan Islam sebagai ajaran negatif, terutama apabila ada adegan menggunakan ayat al-Quran bagi tujuan sihir,” kata jurucakap Lembaga Penapisan Filem Pakistan.

Bukan itu saja, badan berkenaan turut menyifatkan Pari: Not A Fairytale yang diarahkan pendatang baru Prosit Roy itu seolah-olah menghalalkan amalan ilmu hitam walaupun ia bertentangan dengan ajaran Islam.

“Skrip, dialog dan jalan penceritaan Pari: Not A Fairytale melanggar nilai Islam.

“Dalam Islam ideologi berbeza mengenai sihir sebaliknya filem ini merangsang penonton memihak kepada ilmu hitam dan pandangan yang jelas bercanggah dengan agama kami,” kata seorang pegawai kanan badan terbabit.

Kekang filem langgar tabu

Times of India melaporkan pengerusi Persatuan Pengedar Filem Pakistan, Chaudhry Ejaz Kamra, juga setuju dengan keputusan lembaga penapis berkenaan.

“Sebarang filem yang bercanggah dengan budaya dan sejarah keislaman harus diharamkan di Pakistan,” katanya.

Ekoran ketetapan lembaga penapisan itu sebuah pawagam yang sepatutnya menyiarkan Pari: Not A Fairytale memaklumkan mereka akan mengembalikan wang kepada pembeli tiket sebelum ini.

Pari adalah filem ketiga diterbitkan syarikat terbitan Anushka (gambar), Clean Slate Films selepas NH10 dan Phillauri.

Untuk rekod, selepas enam hari ditayangkan di India, Pari: Not A Fairytale meraih kutipan lebih RM74.3 juta.

Bulan lalu Pakistan turut mengharamkan tayangan filem biografik Padman – dibintangi Akshay Kumar – yang berkisahkan kebersihan menstrual kerana memaparkan subjek dianggap tabu buat masyarakat di sana.

“Kami tidak boleh membenarkan pengedar mengimport filem yang bertentangan dengan tradisi dan budaya Pakistan,” kata seorang daripada anggota Lembaga Penapis Pakistan, Ishaq Ahmed.

“Kami juga tidak boleh membenarkan tayangan filem yang mengisahkan subjek tabu di pawagam kita kerana ia bukan budaya, masyarakat mahupun agama,” kata seorang daripada anggota Lembaga Penapis Filem Punjab.

Pembikin filem berasal dari Pakistan Syed Noor pula berkata pengedar dan pempamer tempatan mesti dididik mengenai filem yang mereka import dari luar.

‘Bukan saja Padman, tetapi saya fikir Padmaavat juga tidak wajar diterbitkan di Pakistan kerana ia mempamerkan Muslim dengan imej negatif,” katanya.-MK

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here