Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, berkata hasil kajian Institut Kajian Darul Ehsan (IDE) baru-baru ini, menunjukkan hanya satu peratus rakyat menyokong PAN.

Perkembangan itu, katanya, turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin PKR dan DAP mengenai kemampuan parti serpihan PAS terbabit.

“Kenyataan PAN mahu rampas 13 kerusi DUN milik PAS Selangor tidak lebih sekadar kenyataan politik. Dia (PAN) cakap tanpa buat kajian, dia hanya penumpang dalam pakatan pembangkang.

“Lagi pun dia tidak lebih berperanan sebagai pengacau kepada PAS sahaja. Kenapa hanya tumpu Selangor dan Kelantan? Sebabnya untuk kacau PAS, itu tujuan utamanya,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa yang yakin partinya akan merampas 13 kerusi DUN Selangor dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Sebelum itu, Pengerusi PAN Selangor, Ir Izham Hashim dilaporkan berkata, parti berkenaan mahu bertanding sekurang-kurangnya 14 daripada 56 kerusi DUN di negeri ini pada PRU-14.

PAN konsisten mahu bertanding kerusi DUN disandang PAS, iaitu Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Chempaka, Meru, Dusun Tua, Tanjung Sepat, Sabak, Gombak Setia, Bangi, Seri Serdang, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Hulu Kelang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib serta ADUN Morib, Hasnul Baharuddin bagaimanapun keluar PAS tidak lama selepas PRU-13 dan menyertai PAN.

Mengenai dakwaan kemenangan PAS pada PRU-13 banyak dipengaruhi undi kaum Cina, Sallehen berkata, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam politik, malah pengundi Cina belum tentu mengundi DAP pada PRU-14.

Beliau juga mengulangi pendirian bahawa PAS Selangor bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru pada PRU-14 nanti.

“PAS Selangor bersedia bertanding 42 kerusi DUN Selangor. Penyebab pertandingan tiga penjuru ialah PAN, bukan PAS,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here