memali

Parti Amanah Negara mengamalkan politik hipokrasi apabila dilihat sengaja melupakan tragedi Memali demi menjaga kepentingan individu tertentu.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, berkata parti berkenaan perlu bersikap lebih jujur kerana sewaktu bersama PAS mereka adalah antara penggerak yang lantang memperjuangkan keadilan Memali.

“Mereka perlu berlaku jujur…ucapan mereka masih segar dan terngiang-ngiang lagi di telinga dengan mengutuk tindakan Tun Dr Mahathir (Mohamad) dan mendesak kerajaan menjalankan siaatan tulus menerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Kini, selepas beberapa bulan keluar daripada PAS, terus mereka jadi lupa. Mereka perlu bersikap jujur dengan yang mana hak dikatakan hak, yang batil dikatakan batil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah di Balai Islam Madi, di sini, tengah malam tadi.

Nasrudin dalam pada itu turut menempelak pihak tertentu yang dilihat ‘kalut’ mengenai isu berkenaan dengan mendakwa RCI tragedi Memali hanya akan memakan diri PAS.

“Tidak berbangkit isu di mana PAS akan rugi jika RCI ini menjadi kenyataan nanti. Kita bersetuju ia diteruskan.

“RCI tidak ditubuhkan lagi dah ada pihak kelam kabut kata pimpinan PAS akan kena nanti. Sepatutnya mereka yang selama ini menentang PAS bersyukur, tetapi kenapa mereka kalut?

“Seolah-olah mahu mempertahankan ‘tuan’ mereka itu,” katanya tanpa menyebut nama mana-mana pihak.

Beliau berkata, dakwaan mengatakan isu Memali sengaja dibangkitkan kerana hampir pilihan raya adalah tidak tepat kerana PAS cuma memberi maklum balas selepas isu itu dibangkitkan pada progam ‘Nothing to Hide’.

“Ia bukan isu baharu kerana PAS bangkitkan (isu memali) sepanjang masa dengan adanya sambutan tahunan di Memali setiap tahun

“Ia juga menjadi isu politik sejak enam edisi pilihan raya. Isu Memali tidak pernah selesai, sebab itu kita mahu siasatan telus dijalankan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.- BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here