pan borneo

Laluan lebih 2,000km dari Teluk Melano di penghujung barat daya Sarawak sehingga ke Serudong nun jauh di penghujung negeri Sabah sana hanyalah laluan jalan darat yang panjang menghubungkan 2 negeri, merentasi negara Brunei Darussalam.

Namun hakikatnya sama seperti Lebuhraya Utara Selatan yang menawarkan perjalanan darat selesa antara Bukit Kayu Hitam di utara dan Johor Bahru di selatan negara, ia bakal menjadi pemangkin utama yang akan memacu pertumbuhan ekonomi kawasan-kawasan yang direntasinya.

Beza perbandingannya cukup mudah – Lebuhraya Plus membabitkan laluan sejauh 772 km, manakala laluan Pan Borneo menjangkau lebih 2 kali ganda jauhnya; dan semasa tol dari Bukit Kayu Hitam ke Johor Bahru mencecah sehingga lebih RM100 untuk perjalanan sehala, Lebuhraya Pan Borneo – tanpa tol, pandulah sepuas hati.

Agenda transformasi nasional (TN50) yang menekankan soal ‘inklusif’, ingin melihat seluruh rakyat melangkah seiring untuk maju bersama ke hadapan tanpa meminggirkan mana-mana kelompok di belakang dalam membentuk satu keluarga besar yang progresif di bawah satu bendera.

Asalnya, kira-kira 300 penduduk di Telok Melano, kira-kira 100km dari bandaraya Kuching sama sekali tidak menjangka manifesto Barisan Nasional (BN) mengenai tekad lebuh raya yang dianggar bernilai lebih RM29 billion itu (RM16.49 billion buat laluan di Sarawak dan RM12.86 billion di Sabah) yang dijangka siap sekitar tahun 2023, akan turut membawa rahmat kepada mereka.

Penduduk Telok Melano tarik nafas lega

Telok Melano, perkampungan nelayan yang kecil bersempadan dengan Indonesia, tidak mempunyai jalan yang sempurna untuk berhubung dengan dunia luar, dengan hanya Sematan yang menjadi pekan paling hampir, – lebih ‘selesa’ dihubungi dengan jalan laut.

Rancangan asal lebuh raya Pan Borneo hanyalah membabitkan laluan dari Sematan ke Miri, namun atas permintaan Ketua Menteri Sarawak ke-6, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meluluskan pakej laluan 32.77km antara Teluk Melano dan Sematan yang membabitkan tambahan RM580 juta.

Seorang penduduk, Adenan Saba, 59, berkata apabila disiapkan, laluan itu akan memudahkan perjalanan penduduk ke Sematan, malah seterusnya ke bandar-bandar lain di Sarawak, memandangkan ketika ini penduduk terpaksa menggunakan bot untuk berurusan di Sematan, dan ia adakalanya berbahaya serta terbatas memandangkan pergerakannya bergantung kepada keadaan gelora laut.

Kedudukannya di kawasan telok menghadiahkan panorama pantai indah untuk ditawarkan oleh kira-kira 54 keluarga di kawasan ini buat pelancong, di samping makanan laut yang lazat, dan ketika ini terdapat 25 keluarga terbabit dengan program homestay.

Menurut Adenan laluan 32.77 km yang dijangka siap pada 2019 itu pasti akan dapat membawa lebih ramai pelancong asing ke Telok Melano.

“Sayangnya Allahyarham Adenan (Ketua Menteri) sudah tiada. Jika dia masih hidup, pasti dia akan gembira melihat perkembangan ini,” katanya.

Jalan pesisir pantai jadi pelengkap

Jajaran Teluk Melano-Sematan merupakan salah satu daripada 9 jajaran Pan Borneo yang disiapkan lebih awal berbanding perancangan, manakala 3 lagi jajaran mengalami sedikit kelewatan disebabkan kesulitan dalam soal pengambilan tanah. Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof bagaimanapun memberi jaminan kerajaan komited keseluruhan 12 jajaran itu akan disiapkan mengikut jadual.

Selain Pan Borneo, Perdana Menteri turut memuktamadkan komitmen kerajaan untuk membina rangkaian jalan di kawasan pesisir pantai (coastal area) Sarawak bagi melancarkan pergerakan dari Sematan terus ke kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score), sebagai pelengkap kepada pembangunan lebuhraya tanpa tol itu.

Semasa melancarkan pembinaan Jambatan Batang Sadong yang bernilai RM231 juta tahun lepas Perdana Menteri berkata selain Pan Borneo, ada satu lagi projek utama yang dijadikan keutamaan kerajaan pusat di Sarawak, rangkaian jalan raya pesisir pantai.

Jalan raya pesisir pantai merujuk kepada akses yang menghubungkan pekan-pekan seperti Kota Samarahan, Sadong Jaya, Sebuyau, Kabong, Tanjong Manis, Daro, Matu, Balingian, dan seterusnya ke utara menghala ke Bintulu, sebagai jalan raya sambungan kepada Pan Borneo.

Desakan tugas seorang kontraktor Abang Abdul Kadir, 38, memaksa beliau sering berurusan di pekan-pekan sekitar kawasan pesisir pantai yang dilihatnya berpotensi besar untuk maju. Beliau menceritakan betapa perjalanan ke utara negeri menerusi pekan-pekan ini boleh dipendekkan bagi menyediakan rangkaian jalan yang lebih efisien dan selesa buat penduduknya.

Jambatan terpanjang Sarawak

Beliau berkata jambatan Batang Sadong benar-benar membantu ramai pengguna terutama sekitar Kota Samarahan dan Sadong Jaya memendekkan perjalanan mereka, namun untuk terus ke utara negeri, masih banyak laluan dan jambatan perlu dibangunkan.

Menurutnya ketika ini beliau melihat kerajaan sedang gigih membangunkan “feeder roads” sebagai pelengkap hubungan antara kampung-kampung serta rumah-rumah panjang di pedalaman dengan lebuh raya mega ini, selaras dengan aspek ‘inklusif’ yang menjadi agenda utama kerajaan.

Berita mengenai keputusan kerajaan membangunkan jambatan Batang Lupar, jambatan terpanjang di Sarawak bernilai RM1 bilion disambut dengan rasa gembira oleh seluruh penduduk di kawasan pesisir periran Sarawak itu.

Rancangan pembinaan jambatan 5.1km itu diluluskan dengan dasar perkongsian 50-50 antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dan ia dijangka siap dalam tempoh antara 26 dan 60 bulan.

Selang beberapa hari kemudian, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pula mengumumkan keputusan kerajaan untuk membangunkan jambatan Batang Lassa bagi melengkapkan perjalanan darat dari Tanjung Manis ke Mukah, meyusuri pekan-pekan seperti Pulau Bruit, Daro dan Matu.

Ketika ini, pengguna lebuh raya dapat melihat dengan jelas di kiri dan kanan perjalanan darat dari Kuching menghala ke utara negeri di mana kerja-kerja pembersihan sedang gigih diusahakan. Jengkaut berselerak ditepi-tepi jalan, pelbagai struktur binaan di tepi-tepi jalan sudah dimusnahkan, dan pembangunan fizikal dapat dilihat dengan ketara.

Pada masa yang sama, penduduk di bahagian tengah, menghulu sungai terpanjang Negara Sungai Rajang di pedalaman Kapit juga sedang menanti menggunakan lebuh raya itu. Namun, sama seperti Teluk Melano, ia hanya dapat dihubungi dengan dunia luar menerusi bandar Sibu, yang ketika ini diakses menerusi jalan sungai.

Kesungguhan Perdana Menteri menyediakan laluan darat terserlah menerusi kunjungannya ke kawasan pedalaman Sarawak, melihat sendiri perkembangan projek jalan raya Jalan Kapit-Song-Kanowit-Sibu sepanjang 102 kilometer, membabitkan kos sekitar RM800 juta, yang dijangka siap menjelang 2019.

Seorang lagi kontraktor binaan Khairul Abdullah, 41, berkata Sungai Rajang menjadi medium pengangkutan utama ke kawasan pedalaman sejak sekian lama, namun dengan peredaran zaman, kepentingan untuk mewujudkan laluan darat semakin bertambah mendesak.

Beliau melihat potensi besar meneroka kawasan baru yang boleh diakses dengan baik menerusi jalan darat khusus untuk memberi manfaat limpahan ekonomi kepada semua pihak, baik untuk kumpulan usahawan, mahupun peningkatan ekonomi buat penduduk setempat.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here