PAKATAN Harapan (PH) hanya akan mengumumkan calon perdana menteri pada konvensyen keduanya yang akan diadakan pada 7 Januari, kata Dr Mahathir Mohamad. Pengerusi PH itu berkata, perkara penting lain seperti pembahagian kerusi antara parti komponen akan turut diumumkan Ahad ini. (calon PM)

“Kita akan dengar tentang itu (calon PM) selepas konvensyen. Hari ini bukan masanya untuk umumkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

“Kita buat keputusan hari ini, untuk umumkan tentang rancangan masa depan kita pada akhir konvensyen.”

Ketika diasak pemberita berkali-kali tentang isu calon perdana menteri dan pembahagian kerusi pilihan raya, Dr Mahathir tetap mengatakan ia akan diumumkan semasa konvensyen.

Dr Mahathir berkata, sekiranya perkara-perkara “penting ini” diumumkan hari ini, konvensyen PH tidak akan memberi tarikan.

“Saya akan beritahu anda semua apa yang kita bincangkan hari ini pada konvensyen akan datang atau kita hanya senyum sesama sendiri semasa mesyuarat tadi.

“Kerjasama sesama parti (PH) macam biasa, kami akan berjumpa hari-hari, komitee-komitee kami akan berjumpa, ia bukanlah satu perlawanan tinju, kita adalah orang yang baik,” kata bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu.

Dr Mahathir berkata sekiranya perkara-perkara “penting ini” diumumkan hari ini, konvensyen Pakatan Harapan tidak akan memberi tarikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Januari, 2018.
Dr Mahathir berkata sekiranya perkara-perkara “penting ini” diumumkan hari ini, konvensyen Pakatan Harapan tidak akan memberi tarikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Januari, 2018.

Dalam mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini, mereka seharusnya memutuskan siapakah calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya PH berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Dalam permukiman yang diadakan PH akhir tahun lalu, Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah Wan Ismail dicadangkan sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya berjaya menang PRU14.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak dapat diumumkan kerana PKR masih mahu membincangkan perkara itu pada peringkat parti, walaupun Bersatu, DAP dan Amanah menyokong tanpa bantahan.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin minggu lalu berkata PH tidak ada pilihankecuali menamakan bakal perdana menterinya sebelum PRU14 kerana rakyat mahu tahu apa pilihan yang ditawarkan oleh gabungan pembangkang itu untuk mengubah Malaysia.

Minggu lalu, The Malaysian Insight juga melaporkan PKR meletakkan tiga syarat sebelum bersetuju Dr Mahathir dijadikan calon perdana menteri PH.

Pada sidang media sama, Ketua Setiausaha PH mengumumkan satu konvensyen akan diadakan pada 7 Januari di Dewan Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam.

Saifuddin berkata, konvensyen itu akan menyaksikan buat pertama kalinya empat parti komponen PKR, Amanah, Bersatu dan DAP di atas satu pentas.

“Beberapa pengumuman besar juga akan dilakukan oleh pimpinan utama Pakatan Harapan.

“Di samping itu, beberapa acara pelancaran akan dilangsungkan sebagai menggerakkan momentum persediaan pilihan raya,” kata Saifuddin yang membacakan kenyataan ditandatangani Dr Mahathir, Dr Wan Azizah, Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng. – The Malaysian Insight

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here