Masing-masing rasa kuat! Itulah gambaran yang boleh diberikan terhadap situasi terkini Pakatan Harapan selepas pengumuman senarai kerusi yang bakal ditandingi parti-parti komponen gabungan pembangkang itu di Semenanjung dalam pilihan raya umum ke-14. Berdasarkan kepada senarai yang dikeluarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendapat bilangan kerusi tertinggi sebanyak 52, diikuti Parti Keadilan Rakyat (PKR) 51, Parti Tindakan Demokratik (DAP) 35 dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dengan 27 kerusi.

Selepas pengumuman berkenaan muncul beberapa gerakan tidak berpuas hati dengan agihan berkenaan. Jelas dalam keadaan ini AMANAH dilihat sebagai parti paling rugi dan hanya diberikan 27 kerusi. Jumlah itu jelas mengejutkan parti berkenaan dan AMANAH di tiga negeri telah menyatakan rasa tidak puas hati secara jelas iaitu AMANAH di Johor, Perak dan Wilayah Persekutuan. Malah turut kedengaran AMANAH di Kelantan dan Terengganu juga seperti tidak berpuas hati, tetapi tidak menyatakan secara jelas.

AMANAH sebenarnya menuntut kerusi yang dimenangi pemimpin mereka semasa menggunakan tiket PAS dalam pilihan raya umum terdahulu, namun itu tidak dapat dipenuhi secara keseluruhannya kerana AMANAH terpaksa berkongsinya dengan BERSATU. Malah AMANAH Johor secara terang-terangan bertegas agihan kerusi lebih adil wajar dibuat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas hasrat mereka untuk bertanding lima kerusi Parlimen di Johor tidak kesampaian apabila hanya diperuntukkan dua kerusi.

Semalam berlangsung sesi luahan hati AMANAH Wilayah Persekutuan dengan barisan kepimpinan tertinggi parti berkenaan. AMANAH di Kuala Lumpur yang sebenarnya mensasarkan kerusi Parlimen Titiwangsa, tidak diberikan apa-apa kerusi di ibu kota. Ini jelas menimbulkan rasa tidak senang kerana AMANAH berpandangan mereka telah berusaha gigih untuk di kawasan berkenaan, namun di saat akhir peluang itu seperti di rampas.

Selain soal kerusi, frasa masing-masing merasa kuat sebenarnya boleh kita kaitkan dengan krisis PKR berhubung rasa tidak puas hati kepimpinan parti berkenaan di negeri Selangor yang tidak mahu menerima Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang. PKR di Selangor yang jelas dikuasai sepenuhnya oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali jelas menggunakan proksi yang ada untuk menyampaikan rasa tidak puas hati.

Malah semalam apabila Pakatan Harapan Selangor mengeluarkan kenyataan menyokong keputusan dibuat di konvesyen gabungan berkenaan, PKR Selangor mengecualikan diri dan tiada tandatangan atau persetujuan daripada PKR Selangor berhubung kenyataan berkenaan. Ini jelas menunjukkan Pakatan Harapan di Selangor sedang berdepan krisis besar. Angkatan Azmin merasakan Timbalan Presiden PKR itu sebagai orang paling layak untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri dan apabila hal ini tidak terjadi, mereka berdegil tidak menerima keputusan gabungan dan membuat tindakan sendiri yang menimbulkan ragu-ragu dalam kalangan rakyat.

Pakatan Harapan sedang melalui kegetiran dan nyata kebanyakan pemimpin gabungan itu masih tidak mengerti makna muafakat dan bagaimana sesebuah organisasi itu boleh diurus. Apa yang berlaku kepada Pakatan Harapan ini sebenarnya satu peluang besar kepada Barisan Nasional. Kelemahan lawan harus diambil kesempatan dan kemenangan besar boleh dikira sudah berada di depan mata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here