Semakin hampir pilihan raya umum, semakin kalut Pakatan Harapan (PH). Pakatan pembangkang ini kini berdepan dengan situasi paling mencemaskan apabila masih gagal memuktamadkan sebarang rundingan untuk kerusi-kerusi yang bakal ditandingi parti-parti yang menganggotai pakatan berkenaan. Malah lebih membimbangkan mereka ialah segala salah percaturan, rasa tidak puas hati dan kekalutan yang berlaku didedahkan di media massa tanpa ada sebarang perancangan lebih rapi di dalam pakatan berkenaan untuk menguruskan konflik dan perbezaan pandangan.

Melalui kekalutan yang didedahkan di media massa ini rakyat boleh menjadi saksi betapa pakatan ini ialah pakatan tidak masak dan gagal untuk tumbuh sebagai sebuah pakatan politik yang matang. PH masih lagi terlalu jauh untuk bercakap tentang politik matang, apabila gagal menguruskan organisasi dengan tertib dan teratur. Malah budaya tidak menghormati keputusan pemimpin yang didorong sikap tidak mempercayai dan menaruh syak kepada pemimpin sendiri telah memburukkan lagi keadaan.

PH dengan bangganya mengumumkan mereka telah berjaya menyelesaikan agihan kerusi di peringkat Semenanjung, namun segala-galanya jelas satu pembohongan apabila tidak sampai sehari selepas pengumuman dibuat, pelbagai kenyataan dan suara tidak puas hati disuarakan melalui media massa, malah mereka seolah-olah seperti lupa tentang adab dan tatasusila di dalam berorganisasi. Bagaimana rakyat mahu mempercayai bentuk kepimpinan seperti ini yang gagal menguruskan parti, tetapi menanam cita-cita tinggi untuk memimpin negara.

Di Selangor baru-baru ini kita melihat bagaimana agihan kerusi di negeri berkenaan masih gagal dimuktamadkan dan YAB Menteri Besar merangkap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali seperti mempunyai perancangan berbeza dengan PH di peringkat pusat. Malah Azmin dilihat seperti mahu mempertahankan kedudukannya sebagai Menteri Besar di negeri berkenaan dan untuk itu kerjasama yang diharapkan masih tidak berjaya dilaksanakan dengan baik.

Malah lebih memburukkan keadaan buat PH ialah Parti Amanah Negara (AMANAH) turut mengeluarkan kenyataan yang dilihat mengkritik Azmin. Azmin pula tidak mahu kalah dan turut melemparkan kata-kata kurang enak apabila menganggap AMANAH ialah parti yang tidak amanah. Apakah drama-drama seperti ini molek untuk dihidangkan kepada rakyat? Dan adakah rakyat percaya dengan bentuk kepimpinan seperti ini untuk menerajui Malaysia. Sudah tentu tidak kerana kekalutan akan berlaku dalam negara kerana barisan kepimpinan mempunyai mimpi yang berbeza walaupun tidur di atas bantal dan tilam yang sama.

Sikap tidak mahu mengalah, kegagalan untuk membentuk persefahaman dan kegemaran untuk membuat kenyataan media sesuka hati merupakan hal-hal negatif yang dilakukan oleh sebahagian besar pemimpin PH kerana kita tidak dapat mendengar suara pemimpin yang benar-benar menyatukan pakatan berkenaan. Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan sebagai individu paling baik untuk PH juga langsung tidak memberikan apa-apa pengertian malah kehadiran beliau di dalam gabungan pembangkang yang memburukkan lagi perpecahan yang sudah berlaku. Jika sebelum ini sudah retak, kini retak itu sedang menanti belah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here