ISU berhubung Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terus dipergunakan oleh Pakatan Harapan (PH) terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Jika mimpi mereka menguasai Putrajaya menjadi kenyataan, pakatan itu mengumumkan akan memansuhkan GST dan mengurangkan harga petrol.

Persoalannya, bolehkah dua perkara itu segera dilakukan jika Pakatan Harapan menang PRU-14?

Dalam isu GST misalnya, Pakatan Harapan pastinya akan terus menabur pelbagai persoalan dan dakwaan bagi mengaburi mata rakyat.

Natijahnya, mereka sendiri belum tentu akan menghapuskan GST jika menang pilihan raya umum akan datang.

Pada Mei 2015, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui bahawa penghapusan sistem GST akan mengambil masa untuk dilakukan.

Guan Eng memaklumkan, pakatan pembangkang memerlukan tempoh tiga tahun sebelum pilihan raya umum yang akan datang, untuk menghapuskan GST.

Turut diakui Guan Eng bukan mudah untuk menghapuskan GST.

Adakah Pakatan Harapan sudah mempunyai pelan atau kaedah untuk menghapuskan GST?

Jadi, isu GST ini bukan perkara baharu, ia terus dimomokkan oleh Pakatan Harapan sejak cukai itu dilaksanakan.

Isu GST ini pasti akan terus dimainkan Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Cuma kini, adegan drama politik atau gimik politiknya dicipta dan disusun skripnya oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tidak dapat dinafikan bahawa rakyat, merentasi kaum belum menerima sepenuhnya pelaksanaan GST kerana mereka masih kurang memahami matlamat sebenar kerajaan melaksanakan cukai itu.

Cuma persoalannya, adakah Pakatan Harapan akan menunaikan janjinya untuk menghapuskan GST?

Ini kerana rakyat Malaysia sudah biasa dengan janji–janji parti politik yang bergabung dalam pakatan itu, terutamanya DAP.

DAP sendiri sebelum ini berjanji akan menghapuskan tol dan mengurangkan kadar cukai yang dikenakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang sekiranya mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN).

Tetapi, apabila DAP menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang, tol tidak dimansuhkan malah kadar cukai yang dikenakan pula dinaikkan.

Kawasan letak kereta dalam bandar di seluruh Pulau Pinang diluaskan lagi bagi tujuan me­ngenakan bayaran letak kereta.

Jadi, Pakatan Harapan yang diterajui DAP dilihat tidak akan memansuhkan GST, sebaliknya mungkin akan menaikkan kadar cukai itu daripada enam peratus iaitu kadar semasa kepada kadar yang lebih tinggi.

Pelaksanaan GST sejak 1 April 2015 adalah satu langkah pembaharuan dasar kewangan sistem pengutipan hasil sedia ada untuk menjamin negara tidak mengalami kepincangan ekonomi pada masa akan datang.

GST diperkenalkan untuk memperluaskan skop kutipan hasil ke arah memperkasakan ekonomi negara agar kerajaan dapat menampung per­belanjaan negara yang kian meningkat.

Sistem cukai ini juga diperkenalkan agar kerajaan tidak banyak bergantung kepada kutipan cukai daripada sumber cukai pendapatan yang umumnya dikutip daripada individu-individu atas ganjaran dan daripada syarikat-syarikat atas keuntungan yang diperolehnya.

Adakah Malaysia negara perintis pelaksanaan GST?

Malaysia bukan negara perintis dalam mengamalkan GST.

Negara yang paling awal melaksanakan GST dalam dunia adalah Perancis pada tahun 1954.

Negara yang paling awal melaksanakan GST di ASEAN adalah Indonesia, iaitu pada 1984.

India pula adalah negara yang terbaharu melaksanakan GST dengan kadar cukai lima sehingga 28 peratus.

Meskipun kadar cukai GST di Malaysia adalah enam peratus, iaitu antara kadar cukai yang paling rendah di dunia, ada pihak tertentu mengadu-domba mendakwa bahawa GST menyusahkan rakyat kerana harga barangan keperluan asas akan meningkat.

Dakwaan pengkritik-pengkritik GST ini sudah tentu tidak benar sama sekali kerana sebahagian besar barangan dan perkhidmat­an termasuk makanan dan keperluan harian rakyat, termasuk ubat-ubatan dikecualikan cukai GST.

Malah, kerajaan membenarkan pengeluar barangan menuntut balik cukai GST yang dikenakan dengan harapan harga barangan dalam pasaran dijual dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran sebelum GST dilaksanakan.

Sesungguhnya, usaha untuk melaksanakan GST bermula pada era kerajaan kepimpinan Dr. Mahathir lagi. Tun Daim Zainuddin, selaku Menteri Kewangan pada 1985, telah mencadangkan pelaksanaan GST.

Namun, kerajaan menangguhkannya pada ketika itu kerana sumber hasil daripada sumber petroleum mencukupi untuk menampung perbelanjaan negara.

Kerajaan ketika itu tidak terdesak melaksanakan GST ke­rana harga minyak mentah pada ketika itu berlegar antara AS$100 hingga AS$120 setong.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan GST pada 2015 kerana sistem percukaian sedia ada didapati tidak adil kerana rakyat dikenakan cukai pada pelbagai peringkat.

Kerajaan juga menghadapi kekangan kekurang­an hasil kerana kejatuhan harga minyak mentah dalam pasar­an dunia ke paras sekitar AS$45 setong.

Di sebalik kekangan hasil, perbelanjaan mengurus dan pembangunan negara juga didapati kian meningkat.

Contohnya, peruntukan untuk perkara emolumen bagi tahun 2000 adalah hanya RM14.61 bilion manakala peruntukan untuk perkara emolumen meningkat kepada RM77.4 bi­lion pada 2017.

Subsidi untuk bahan-bahan keperluan asas seperti minyak juga meningkat hampir RM18.2 bilion pada 2014.

Peruntukan untuk emolumen sahaja meningkat lebih lima kali ganda sejak tahun 2014.

Tambahan pula, kerajaan juga menyediakan peruntukan untuk membantu meringankan bebanan rakyat.

Antaranya, penyediaan RM4.3 bilion untuk biasiswa, RM7.4 bilion untuk membantu 20 buah universiti awam, RM1.1 bilion untuk bantuan makanan bagi 365,000 murid asrama dan RM300 juta bagi bantuan makanan 1Malaysia bagi sekolah rendah.

Selain itu, bantuan sekolah RM100 kepada 3.5 juta pelajar daripada keluarga berpendapatan bawah RM3,000 sebulan dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM6.8 bilion untuk tujuh juta rakyat.

Maka, kekurangan hasil negara, pada masa sama pe­ningkatan perbelanjaan negara untuk rakyat, telah me­nimbulkan keperluan kepada kerajaan mengambil langkah mentransformasikan sistem kutipan hasil agar kerajaan dapat menampung dana bagi terus menyediakan perkhid­matan untuk rakyat.

Sesungguhnya, rakyat akan sedar kepentingan GST sekiranya mereka membayangkan betapa resahnya dan terbebannya kehidupan mereka.

Apa terjadi jika kerajaan tidak menyediakan gaji, pencen, bantuan khas seperti BR1M kepada golongan pendapatan rendah, subsidi bagi barang-barang keperluan asas dan sebagainya kerana dana kerajaan tidak mencukupi untuk membantu rakyat akibat kehilangan hasil berbilion-bilion ringgit daripada sumber petroleum?

Justeru, GST adalah langkah perlu yang diambil oleh kerajaan kepimpinan Najib dalam memperkukuhkan daya tahanan negara malah menjamin rakyat terus hidup selesa dan sejahtera.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mengakui GST yang dilaksanakan kerajaan pada 1 April 2015 sebagai cara paling berkesan untuk meningkatkan ekonomi negara.

Justeru menurut Ahli Parlimen Marang itu, kerajaan perlu memastikan tiada peniaga yang boleh lari daripada membayar cukai ber­kenaan seperti yang berlaku ketika pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Bagaimanapun, kerajaan perlu memastikan pelaksaan GST tidak terus membebankan rakyat ekoran daripada tindakan segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan.

Kerajaan pastinya tidak akan melakukan sesuatu perkara yang kesannya boleh membebankan rakyat. Percayalah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here