Pakatan Harapan (PH) sering meletakkan kedudukan mereka sebagai gabungan politik yang tidak meyakinkan malah menyebabkan rakyat ragu-ragu terhadap kemampuan mereka. Keupayaan gabungan politik ini untuk tampil sebagai alternatif terpenting kepada Barisan Nasional (BN) nampak seperti tidak mampu untuk dicapai. Masalah dalam struktur organisasi dan kepimpinan merupakan dua masalah yang masih gagal diselesaikan oleh PH.

Struktur organisasi parti ini dilihat tidak lengkap dan hanya bakal mengundang masalah kerana sehingga kini kita masih tidak mengetahui siapa yang bakal membuat keputusan untuk gabungan ini. Apakah Tun Dr Mahathir sebagai Pengerusi mempunyai kuasa lebih tinggi atau apakah peranan Ketua Umum yang disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam gabungan ini? Bagaimana pula dengan Presiden PH yang menjadi milik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail?

Gabungan ini menggunakan semua jenis nama ketua dan menggunakan gelaran-gelaran itu sesuka hati tanpa ada sebarang penjelasan yang benar-benar konkrit mengapa semua jenis gelaran ini disenaraikan di dalam organisasi gabungan politik ini. Satu hal yang kita boleh jelaskan ialah semua gelaran ini digunakan hanya untuk memuaskan hati semua pihak dan semua pihak dilihat mempunyai peranan sedangkan hakikatnya tidak.

Dalam sesi pemukiman tertutup PH yang diadakan baru-baru ini, barisan kepimpinan gabungan politik ini telah menyatakan persetujuan secara umum untuk melantik Tun M sebagai Perdana Menteri jika PH menerima mandat sebagai parti memerintah di Malaysia. Manakala Wan Azizah pula akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri. Ini satu pengumuman yang jelas mengecewakan dan bakal memberikan mata tambahan kepada BN untuk terus menerajui negara.

Melalui keputusan PH ini jelas melihatkan bagaimana gabungan politik ini mengalami ketandusan pemimpin dan hanya akan mengitar semula bekas perdana menteri yang selama ini ditentang mereka. Tidak pasti apakah yang ada dalam pemikiran pemimpin politik PH sehingga memutuskan untuk mengangkat Tun M sebagai perdana menteri kembali. Ini satu tragedi besar-besaran dalam PH kerana jelas gabungan politik ini tidak mempunyai barisan kepimpinan pelapis yang dipercayai.

Malah kredibiliti Wan Azizah yang mahu diangkat sebagai timbalan perdana menteri juga amat meragukan. Beliau jelas tidak berjaya sebagai Ketua Pembangkang dan tidak membawa apa-apa perubahan dalam corak politik pembangkang. Malah kualiti kepimpinan beliau dilihat tidak setanding dengan kualiti yang ada pada Kerajaan BN. Amat sukar untuk PH bertahan sebagai sebuah Kerajaan jika pemimpin yang dipilih adalah dalam kalangan kitar semula dan tidak mempunyai kualiti yang diperlukan.

Percaturan politik pembangkang khasnya PH berada pada tahap tidak menentu dan ini kesempatan terbaik untuk BN menguasai sokongan dan menutup peluang yang cuba disambar PH. Kelemahan struktur kepimpinan ialah kanser yang membunuh PH dari dalam. PH jelas mempunyai sindrom tidak mempercayai kepimpinan baru, muda dan segar, tetapi sebaliknya hanya terus bergantung kepada wajah-wajah lama yang sukar untuk mendapat sokongan penuh rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here