GESAAN Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan), Datuk Seri Lajim Ukin agar Pakatan Harapan (PH) tidak bertanding di Sabah pada pilihan raya umum (PRU) kelak bukanlah sesuatu yang baharu seumpamanya yang pernah kita dengar. Bertahun-tahun lamanya kita melihat bagaimana parti-parti politik yang berpusat di Semenanjung sememangnya menghadapi jalan yang sukar untuk mendapatkan pengaruh di Borneo, baik di Sabah mahupun di Sarawak.

Bahkan parti terbesar negara, UMNO sendiri pun nampaknya semakin bergelut untuk mempertahankan pengaruh mereka di Sabah apatah lagi dengan bertambahnya bilangan parti pembangkang di negeri itu. Selain Gabungan Sabah yang mengikat kerjasama antara Harapan, Parti Progresif Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), entiti politik pembangkang di Sabah turut dibentuk oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dipimpin bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal.

Sentimen Kenegerian Yang Tinggi

Meneliti iklim politik di Borneo, tentunya ramai antara kita yang boleh bersetuju bahawa penduduk di kedua-dua negeri baik Sabah mahupun Sarawak agak terkenal dengan semangat kenegerian tinggi dan ia sememangnya suatu nilai yang telah dipegang oleh mereka sejak sekian lama. Justeru, tidak hairanlah rata-rata penduduk di kedua-dua negeri ini tidak begitu menggemari sebarang campur tangan oleh mana-mana entiti politik luar dalam urusan negeri-negeri mereka.

Hakikatnya, sekuat mana pun percubaan parti-parti yang berpengkalan di Semenanjung mendekati penduduk di Sabah dan Sarawak, keikhlasan mereka dalam berbuat demikian begitu mudah diragui. Sudah terbiasa dengan iklim politik di Semenanjung, sebarang usaha mereka dalam hal ini berdepan jalan sukar kerana di sana ada hakikat yang perlu mereka akui bahawa mereka sememangnya tidak memiliki sensitiviti yang kuat terhadap perjuangan dan tuntutan penduduk di kedua-dua negeri itu.

Hipokrisi Perjuangan Di Sarawak

Di Sarawak misalnya, cubaan beberapa ahli parlimen PH yang pernah mengusulkan mengenai pelupusan hak imegresen negeri itu dilihat sebagai satu percaturan politik yang sangat dangkal. Ia memperlihatkan tiadanya sensitiviti mereka terhadap sentimen penduduk di negeri Bumi Kenyalang itu. Ada juga cubaan mereka untuk bermain dengan isu autonomi yang sekian lama dituntut daripada kerajaan pusat. Tetapi ternyata permainan sebegitu sukar membuahkan hasil.

Sebagai sebuah entiti politik luar, isu yang dimainkan itu hanyalah dilihat sebagai satu bentuk hipokrisi bagi mendapatkan sokongan penduduk di Sarawak. Jika pun mereka berjaya meraih kepercayaan penduduk, mereka mungkin sahaja mengenepikan ‘janji’ tersebut kemudiannya lantaran perhatian yang kembali teralih kepada isu-isu di peringkat pusat. Kalau lah benar mereka serius memperjuangkan hak Sarawak, perkara itu tentulah sudah lama tertunai sewaktu zaman pemerintahan pengerusi mereka dahulu, Tun Dr. Mahathir. Tambahan pula, tempoh pemerintahan beliau pada ketika itu bukanlah singkat.

PH Semakin Tak Laku Di Sabah

Berbalik kepada gesaan Lajim kepada PH, situasi yang hampir sama kita lihat berlaku di Sabah. Kehadiran PH di negeri itu bukan sahaja disifatkan tidak lagi relevan, bahkan isu yang selalu diperjuangkan mereka juga nampaknya tidak laku dan tidak juga ‘dibeli’ oleh penduduk di sana. Bermain dengan isu 1MDB di sana umpamanya merupakan pilihan dan strategi yang buruk. Malah, jika PH memilih untuk mengutuk dan mencerca kepimpinan negara sepanjang hari sekalipun, strategi sebegitu tetap tidak akan membawa impak yang berkesan kepada mereka.

Sebagai sebuah negeri yang dilihat agak perlahan pembangunannya, apa yang penduduk Sabah perlukan adalah tawaran hebat yang mampu diberikan oleh parti-parti yang bertanding untuk mengubah kehidupan mereka. Dipisahkan daripada Semenanjung oleh Laut China Selatan, sentimen setempat sudah tentu berbeza. Isu yang berlegar di Semenanjung tidak semestinya membawa kesan yang serupa di Borneo. Dalam hal ini, penduduk Sabah lebih berfikir mengenai hal-hal setempat yang berkait rapat dengan hak-hak mereka dalam memenuhi keperluan seharian.

Dengan peningkatan kos sara hidup, apa yang penting bagi mereka adalah bagaimana parti politik mampu menawarkan peningkatan dalam pendapatan mereka, peluang pekerjaan yang lebih luas, bekalan air bersih yang cukup, pembinaan perumahan dan kediaman untuk golongan berpendapatan rendah selain bantuan dalam mendapatkan barangan keperluan harian seperti beras, gula dan gas. Sabah adalah antara negeri di Malaysia yang mencatat pendapatan bulanan isi rumah yang paling rendah, justeru inilah antara isu yang sebenarnya dekat di hati mereka. Di samping itu, kemiskinan juga menjadi satu faktor penting di mana kira-kira satu per lima daripada keseluruhan isi rumah Bumiputera di sana nampaknya masih gagal keluar daripada masalah tersebut.

Menimbang hakikat ini, penduduk di Sabah dan Sarawak tampak akan meletakkan kepercayaan mereka terhadap parti-parti politik tempatan, baik gabungan parti pemerintah mahupun pembangkang, yang secara logiknya tentulah lebih memahami dan memenuhi aspirasi mereka. Memilih untuk membenarkan pengaruh politik dari luar untuk masuk ke kedua-dua negeri itu, apatah lagi bekerjasama dengan mereka, hanya akan membuatkan penduduk di Sabah dan Sarawak skeptikal dan hilang kepercayaan terhadap mana-mana parti politik tempatan yang berkenaan.

Harapan Yang Belum Pasti

Benar, PH kini punya rentak dan pengaruh yang tersendiri di Borneo dengan beberapa kerusi telah pun mereka genggam pasca PRU yang lalu. Namun, dengan kewujudan beberapa entiti pembangkang tempatan yang baharu, pendokong pembangkang di Sabah terutamanya diyakini akan menilai semula sokongan mereka terhadap PH. Atas pertimbangan tersebut juga, maka kita melihat gesaan Gabungan Sabah dan Warisan agar PH tidak mencampuri urusan politik di negeri itu walaupun pada hakikatnya kesemua mereka berkongsi matlamat yang sama untuk menumbangkan BN.

Jalan untuk mencapai matlamat tersebut, walau bagaimanapun, tampak tidak mudah buat mereka. Gabungan Sabah dan Warisan sendiri umpamanya masih bercakaran sesama sendiri dengan masing-masing saling menuduh kewujudan pihak yang satu lagi sebagai mesra BN. Gabungan Sabah pula secara sinis menyatakan tidak mahu mencalonkan mana-mana individu yang pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada PRU kelak, sekaligus menjadi tamparan kepada Warisan yang pemimpin tertingginya ditahan agensi itu berikutan skandal penyelewengan wang yang diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar di Sabah.

Sementara itu, PH pula nampaknya terus nekad untuk meletakkan calon mereka di kesemua kerusi di sana. Situasi ini membayangkan pertembungan satu lawan satu antara pembangkang dengan BN di Borneo dilihat begitu mustahil, apatah lagi ketidaksefahaman antara mereka masih gagal ‘diuruskan’ sedangkan tarikh PRU semakin hampir. Ketika pembangkang tampak bersemangat untuk mengintai pencapaian terbaik mereka dalam sejarah PRU negara, cita-cita besar itu mungkin sahaja terbantut dek kelebihan hubungan lebih harmoni yang wujud dalam gabungan perikatan BN di sana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here