PAKATAN Harapan sendiri menyedari Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) telah memberi manfaat kepada mereka yang paling memerlukan di negara ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Pakatan Harapan menerusi Laporan Belanjawan Alternatif 2018 yang dibentangkan pakatan berkenaan semalam.

Pakatan Harapan berpendirian untuk mengekalkan pembayaran yang sama kepada kategori penerima yang sama menerima bantuan itu ketika ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada akhir tahun lalu pernah mengatakan yang pemberian BR1M sebagai rasuah dan salah di sisi undang-undang.

Mahathir mendakwa BR1M digunakan oleh kerajaan bagi meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, Mahathir membuat pusingan U pada awal tahun ini apabila menyatakan hasrat mahu meneruskan bantuan itu jika Pakatan Harapan menang pada PRU-14 akan datang.

Ahli Parlimen Kelana Jaya daripada PKR, Wong Chen juga pernah mengakui BR1M merupakan insentif yang berjaya dalam membantu golongan yang memerlukan.

Wong Chen memaklumkan, BR1M merupakan kaedah dalam pemberian bantuan secara terus kepada golongan sasaran.

“Saya fikir BR1M adalah program yang agak berjaya… BR1M merupakan subsidi bersasar, dan merupakan cara untuk memastikan golongan miskin tegar diberikan bantuan,” kata Wong Chen.

BR1M yang mula diperkenalkan pada tahun 2012 memanfaatkan 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang di seluruh negara.

Sejak dilaksanakan pada 2012, BR1M mendapat pengiktirafan Bank Dunia sebagai program pindahan tunai yang berjaya sampai kepada 90 peratus golongan yang memerlukan.

Bantuan itu juga diiktiraf sebagai sangat progresif dan bukannya regresif seperti subsidi petrol dan diesel berbentuk pukal.

Bank Dunia juga menyatakan BR1M merupakan penyumbang kepada penurunan kadar kemiskinan dan sekiranya BR1M dan bayaran kebajikan yang lain tidak dilaksanakan, kadar kemiskinan di negara ini akan lebih tinggi.

Selain Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) juga mengiktiraf BR1M sebagai program jaringan keselamatan sosial yang memberi manfaat kepada golongan yang terdedah kepada kemiskinan.

Bantuan seumpama itu turut disalurkan kepada rakyat miskin di Arab Saudi.

Tidakkah pengiktirafan itu menutup mulut pihak yang selama ini mengkritik mengenai pemberian bantuan berkenaan?

Kini, Pakatan Harapan pun mengakui BR1M membela nasib rakyat di negara ini.

Jadi, tidak salahlah keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan program bantuan itu.

Dalam Bajet 2018, BR1M pastinya akan meningkat dan sejak dilaksanakan pada 2012, memang jumlahnya sedia diketahui bertambah.

Itu pastinya akan menarik minat lebih ramai rakyat untuk mendapatkan bantuan itu.

Cuma, diharapkan hanya rakyat yang benar-benar layak menerima BR1M.

Mekanisme penyampaian BR1M perlu ditambah baik melalui Bajet 2018 bagi memastikan kelestariannya menyeluruh.

Satu rangka kerja untuk mengenal pasti pemberian BR1M lebih produktif seperti dalam bentuk bayaran tunai, bayaran tunai bersyarat, baucer makanan atau campuran beberapa skim perlu dipertimbangkan untuk menjadikan insentif itu lebih holistik berbanding bayaran secara tunai yang diaplikasikan ketika ini.

Selain meneruskan agenda membantu golongan berpendapatan rendah dan mereka yang terjejas berikutan peningkatan kos sara hidup, pemberian BR1M perlu dipastikan berupaya membawa kepada peningkatan produktiviti dan kapasiti produktif masa depan dalam ekonomi.

Itu akan menjadikan BR1M sebagai program penyampaian bantuan yang menyeluruh.

Tidak ada salahnya membantu rakyat dan BR1M satu cara yang sebenarnya dicemburui PH sehingga mengakui manfaatnya dalam pengumuman ‘bajet syok sendiri’ yang diumum mereka sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here