Akta Malaysian Airline System Berhad (MAS)  yang diluluskan Parlimen membolehkan penubuhan satu kesatuan sekerja  bagi melindungi hak kakitangan dengan secukupnya.

Bagaimanapun seorang pensyarah undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Ruzita Azmi, mengingatkan kakitangan syarikat penerbangan itu untuk memahami bahawa di bawah undang-undang berkenaan, Malaysia Airline Berhad (MAB) bukanlah pengganti MAS yang lama.

“Ini bermakna mereka (MAB)  bermula dengan rekod bersih dan sebagai entiti baru yang tidak boleh disaman kerana mereka bukanlah majikan pengganti kepada MAS lama. Itu fakta yang perlu difahami. MAB bukanlah majikan pengganti.”

Dr. Ruzita mengulas dakwaan kesatuan pekerja yang hak kakitangan syarikat penerbangan itu diketepikan berikutan penstrukturan semula itu.

Ini termasuk mendapat gaji lebih rendah serta faedah yang kurang dan hak bekas pekerja yang tidak diambil semula.

Menurut Dr. Ruzita lagi, apa sahaja yang dinikmati kakitangan di bawah pengurusan lama, adalah sejarah dan pengurusan baharu tidak boleh diharap untuk memindahkan faedah sama ke dalam kontrak baru kecuali pengurusan baru juga melaksanakan faedah yang sama atau terma dan syarat yang sama.

Dr Ruzita menjelaskan  semua faedah telah diterangkan secara jelas dalam kontrak pekerjaan dan apabila mereka bersetuju menandatanganinya, ia bermakna mereka bersetuju dengan semua faedah dalam kontrak berkenaan.

“98 peratus telah pun bersetuju terhadap tawaran oleh MAB, ini bermakna mereka gembira dengan semua terma dan syarat dan juga faedah terbabit. Jadi, tiada lagi isu yang boleh ditimbulkan.”

Beliau turut menasihatkan pekerja agar mempertimbangkan penubuhan kesatuan sekerja yang baharu apabila MAB yang mula beroperasi 1 September lalu kembali mencatatkan pemulihan dari segi kewangan dan operasi.

Kata Dr. Ruzita sebagai sebuah syarikat penerbangan baharu, MAB memerlukan segala sokongan untuk kembali bersaing.

Akta MAS telah memberikan entiti baharu itu satu bentuk kekebalan daripada tindakan undang-undang diambil terhadap pihak pentadbir dan pihak berkaitan lain. Ini bagi membolehkan MAB memberi konsentrasi kepada operasi perniagaan bagi mendapatkan semula keuntungan.”

Pada  1 Jun lalu, MAS  telah mengeluarkan surat pemberhentian kepada 20 ribu kakitangannya dalam usaha memulihkan aliran kewangan syarikat.

Daripada jumlah itu, 6,000 ditamatkan kontrak manakala 14,000 lagi ditawarkan pekerjaan oleh MAB.

Sumber: Astro Awani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here