PETALING JAYA: Penasihat Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Kua Kia Soong meramalkan majoriti orang Melayu akan menyokong PAS berbanding Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau mengulas barisan kepimpinan Pakatan Harapan yang diumumkan Khamis malam lalu, dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai pengerusi.

Bercakap pada perasmian bukunya bertajuk “Malaysia’s 14th General Elections: The Big Issues” di Gerakbudaya hari ini, Kua berkata, Pakatan Harapan melakukan “kesilapan” dengan mempercayai Dr Mahathir boleh menarik undi Melayu.

“Adakah mereka benar-benar melihat Dr Mahathir memenangi undi Melayu berbanding PAS? Saya sanggup bertaruh 20 sen dengan sesiapa pun, orang Melayu sebaliknya akan sokong PAS,” katanya yang mungkin merujuk hakikat Umno akan mendapat manfaat daripada keadaan ini kerana ia menjalin hubungan rapat dengan parti Islam itu.

Beliau mendakwa ramai belum memaafkan Dr Mahathir terhadap banyak skandal yang dikatakan sepatutnya membabitkan beliau ketika menjadi perdana menteri.

“Menerima Dr Mahathir ialah kesilapan serius. Beliau seorang autokrat dari 1981 sehingga 2003. Beliau terbabit semua skandal, termasuk kapitalis kroni, Bumiputera Malaysia Finance Ltd (BMF) dan forex Bank Negara.

“Beliau tidak meminta maaf tentang apa yang beliau cakap mengenai Anwar Ibrahim. Beliau tidak kesal dengan apa dilakukannya dahulu.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here