SEREMBAN – Orang Melayu harus mengenal semula bangsa mereka berdasarkan asas dalam Perlembagaan Negara yang akan membuatkan mereka utuh dari segi kenegaraan, kata Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, orang Melayu harus bangkit dengan pemikiran bangsa dengan menghayati Perkara 160, Perlembagaan Persekutuan kerana orang Melayu sudah mula melupakan seni, warisan dan sejarah mereka.

“Perkara 160 Perlembagaan Negara misalnya perlu dihayati. Ramuan siapa itu Melayu, apa yang Melayu perlu buat terhadap bahasanya, agamanya dan adab Melayu itu sendiri.

“Dari segi pentadbiran kerajaan pula, berapa banyak kita menumpukan kepada Perkara 160, adakah kita mewajibkan misalnya anggota Kabinet untuk bercakap bahasa Melayu sebaik mungkin dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis meraikan Persatuan Kebajikan Masyarakat Minang Negeri Sembilan dan Angkatan Seni Foto Negeri Sembilan (Asfon) di sini, hari ini.

“Saya harap pandangan ini tidak dipandang serong mana-mana pihak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here