Hari ini 27 Oktober 2017 dan 30 tahun lalu pada tarikh yang sama di tahun 1987, berlaku apa yang disebut sebagai Operasi Lalang atau Ops Lalang. Semasa Ops ini kira-kira 106 aktivis dan pemimpin politik pembangkang ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) manakala lesen penerbitan tiga akhbar, The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan telah ditarik balik. Ini semua berlaku selepas Kerajaan pada ketika itu di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap Ops berkenaan penting untuk mencegah ketegangan kaum selepas beberapa kenyataan berkaitan pendidikan kaum Cina telah menimbulkan kontroversi.

Kerajaan menggunakan alasan membendung keadaan lebih buruk dan menahan beberapa nama besar dalam politik pembangkang termasuk Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, mendiang Karpal Singh, Mohamad Sabu, Mahfuz Omar dan beberapa nama lain lagi. Malah Almarhum Tunku Abdul Rahman yang pada ketika itu bertindak sebagai Pengerusi The Star turut mengkritik langkah Kerajaan pada ketika itu dan meramalkan Malaysia sedang menuju ke arah kediktatoran.

Namun hari ini, keadaan jelas berbeza apabila individu yang bertanggungjawab melancarkan Ops Lalang dan menangkap pemimpin-pemimpin pembangkang berkenaan telah berbaik-baik dan bersatu dalam gabungan politik yang disebut sebagai Pakatan Harapan (PH). Individu berkenaan pula diangkat sebagai Pengerusi PH. Bukan kita berbicara soal dendam di sini, namun soal perjuangan yang konsisten harus diutarakan secara jelas. Dalam keadaan sekarang bagaimana PH melihat Ops Lalang dan adakah Tun Dr Mahathir boleh dipersalahkan dan perlu meminta maaf?

Sehingga kini kita masih tidak mendengar sebarang permohonan maaf oleh Tun Dr Mahathir, tetapi yang kita dapat baca baru-baru ini ialah bagaimana Tun M menganggap bahawa Ops Lalang merupakan keputusan yang dibuat oleh pihak Polis dan Tun M dalam satu wawancara dengan sebuah portal berita dalam talian memberitahu beliau telah memberi jaminan kepada pemimpin pembangkang bahawa mereka tidak akan ditangkap, tetapi polis mengambil pendirian untuk menangkap.

Beliau juga menyatakan terikat dengan nasihat Polis dan tidak boleh menentang sebarang keputusan yang telah diputuskan oleh Polis. Ini jelas satu kenyataan yang tidak masuk akal dan cuba melindungi diri sendiri. Bayangkan seorang Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan Polis? Jika sesuatu hal itu difikirkan wajar atau perlu, adakah kuasa seorang Ketua Polis itu akan lebih tinggi daripada seorang Perdana Menteri. Jelas dalam keadaan politik semasa, Tun M cuba melindungi kepentingan politiknya dan cuba mengalihkan perhatian dalam isu Ops Lalang bagi mengelakkan rakan-rakan pembangkang terus mengaitkan beliau dalam insiden itu.

Walaupun pembangkang selalu mengkritik kepimpinan Kerajaan kini namun berdasarkan keadaan semasa tiada lagi aktivis politik yang ditahan tanpa melalui proses perbicaraan adil. Malah segala-galanya melalui proses mahkamah. ISA juga telah dihapuskan dan Akta yang mengantikannya juga tidak digunakan untuk tujuan politik, tetapi sebaliknya hanya digunakan untuk pengurusan keselamatan negara. Selain itu, kebebasan akhbar termasuk akhbar dan portal dalam talian pro pembangkang dibenarkan untuk bersuara mengikut lunas perlembagaan.

Pembangkang juga dibenarkan untuk mengadakan perhimpunan awam dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Kerajaan pada hari ini jelas mempunyai nilai toleransi yang tinggi di samping ruang demokrasi yang semakin terbuka. Ini berbeza pada waktu pemerintahan Tun M yang menyekat pelbagai bentuk kebebasan dan menggemari ISA. Namun, apabila sudah bersama-sama pembangkang beliau dilihat seperti lupa dengan apa yang dilakukannya dahulu. Ops Lalang tidak pernah melupai ‘jasa-jasa’ Tun M.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here