Kini hanya tinggal lebih kurang seminggu sebelum Kejohanan AFC B-23 2018 di Jiangsu, China akan membuka tirainya. Semuanya BOLA berpeluang untuk menghubungi ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee untuk bertanyakan mengenai persediaan skuadnya.

Menurut Kim Swee, siri perlawanan persahabatan ketika di Mokpo, Korea Selatan telah memberi banyak manfaat kepada para pemainnya. Malaysia telah mengadakan tiga perlawanan persahabatan ketika kem latihan dijalankan di Korea Selatan tempohari.

Dalam tiga perlawanan tersebut, skuad muda negara telah berjaya mengatasi Honam University dengan keputusan 2-1, terikat 1-1 dengan Jeonju Citizen FC dan juga terikat 1-1 dengan Mokpo City FC.

“Perlawanan persahabatan yang dilalui di Korea Selatan itu bertujuan untuk pendedahan dan pada masa yang sama untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pasukan B-23 kita.

“Keputusan (tiga perlawanan tersebut) tidak memberi sebarang impak mahupun tekanan tetapi kualiti permainan amat penting,” ujar Kim Swee kepada Semuanya BOLA.

Sesi latihan skuad B-23 negara. Foto: Facebook FAM.

Hari ini, skuad kendalian Kim Swee dijadualkan akan menentang Syria B-23 untuk aksi persahabatan terakhir sebelum memulakan aksi dalam perlawanan pertama kejohanan menentang Iraq pada 10 Januari ini.

Menurut Kim Swee, Syria mampu menawarkan cabaran fizikal kepada para pemainnya, disamping dia juga ingin melihat sejauh mana kemampuan pasukan daripada Asia Barat untuk kejohanan kali ini.

Apa pun keputusan dalam siri aksi persahabatan ini, bukanlah kemenangan yang dicari. Kim Swee pernah menjelaskan kepada Bernama sebelum ini yang fokusnya dalam aksi persahabatan adalah latihan taktikal.

Ketika ditanyakan berkenaan penyesuaian diri pemain dengan cuaca sejuk di Jiangsu ketika ini, Kim Swee menjelaskan yang para pemain telah mula membiasakan diri disebabkan cuaca di Jiangsu tiada perbezaan ketara dengan ketika mereka di Mokpo.

“Setelah 3 minggu berada di Korea Selatan dan China, cuaca memainkan peranan penting dan walaupun kita mampu menyesuaikan diri namun kita perlu bersiap sedia jika cuaca bertambah buruk,” jelas Kim Swee.

Ketika ini suhu di Jiangsu di antara -2 hingga 1 darjah Celcius dan dikhabarkan bersalji. Malah berdasarkan semakan di laman sesawang Accuweather, suhu boleh turun mencecah sehingga -5 darjah Celcius ketika kejohanan berlangsung.

Sesi latihan skuad B-23 negara. Foto: Facebook FAM.

Menurut laporan New Straits Times, Kim Swee sedikit gusar dengan keadaan bersalji di Jiangsu ketika ini dan berharap para pemainnya tidak akan terlampau terkesan dengan situasi itu nanti.

“Bermain dalam keadaan bersalji adalah pengalaman baharu buat para pemain dan saya harap mereka tidak akan terlalu terkesan disebabkannya,” terang Kim Swee.

Semuanya BOLA turut bertanyakan mengenai sasaran Kim Swee untuk penampilan pertama skuad B-23 negara dalam kejohanan yang baru memasuki edisi ketiga ini.

“Tiada sasaran tetapi kita ingin melangkah ke peringkat kalah mati namun kita perlu realistik,” ujar jurulatih berusia 47 tahun sambil menyatakan dia mahu skuadnya kekal fokus dan memberikan lebih impak berbanding rakan Asia Tenggara yang lain.

Selain Malaysia, Asia Tenggara akan turut diwakili oleh Thailand, Vietnam dan Australia. Thailand dan Vietnam akan membuat kemunculan kedua, sementara Australia telah beraksi tiga edisi di kejohanan ini.

Thailand dan Vietnam pada edisi 2016 yang lalu tersekat di peringkat kumpulan, sementara Australia pernah melangkah sejauh peringkat suku akhir iaitu pada edisi 2013.

Malaysia telah diundi dalam Kumpulan C bersama-sama tiga negara Asia Barat iaitu Iraq, Jordan dan Arab Saudi. Berdasarkan rekod, ketiga-tiga negara itu memiliki sejarah yang sangat baik di dalam kejohanan ini.

Sumber: Semuanya Bola

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here