Saturday, August 19, 2017
Home News Sport Olahraga Penentu Nasib Malaysia?

Olahraga Penentu Nasib Malaysia?

138
0
Olahraga

DENGAN 46 pingat emas bakal ditawarkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), olahraga mampu menjadi penentu keupayaan Malaysia untuk bergelar juara keseluruhan temasya edisi ke-29.

Berdasarkan prestasi semasa atlet, enam emas boleh dianggap ‘hampir pasti’ dalam genggaman manakala empat adalah 50-50, sekali gus menjadikan sasaran minimum yang sesuai diletakkan olahraga adalah 10 pingat emas.

Daripada enam acara yang berpotensi besar menyumbang emas, dua daripadanya dijangka hadir dalam acara riben biru yang sudah lama tidak dikuasai Malaysia iaitu 100 dan 110 meter lari berpagar lelaki.

Kali terakhir atlet negara meraih emas 100m lelaki ialah pada 2003 menerusi Muhammad Nazmizan Mohamed manakala Rayzam Shah Wan Sofian adalah atlet terakhir memenangi emas 110m lari berpagar di Korat, 2007.

Jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, 19, memegang status pelari terpantas Asia Tenggara ketika ini selepas menghuni ranking teratas dengan catatan terpantas 10.24 saat yang dilakukan pada separuh akhir Kejohanan Olahraga Asia di India, minggu lalu.

Cabaran utama jaguh dari Melaka itu dijangka hadir daripada pemenang pingat emas Sukan SEA 2015, Eric Shauwn Cray dari Filipina.

Catatan peribadi terbaik Eric ialah 10.25s yang dilakukan ketika meraih emas di Singapura dua tahun lalu manakala catatan semusim terbaiknya 10.27s dilakukan pada April lalu.

Masa peribadi terbaik Khairul Hafiz pula ialah 10.18s yang juga rekod kebangsaan dibuat pada Sukan Malaysia 2016.

Dalam 110m lari berpagar, Rayzam Shah mengembalikan kepercayaan bahawa dia mampu mengulangi pencapaian 10 tahun lalu.

Rekod kebangsaan dilakukan Rayzam Shah iaitu 13.67s pada kejohanan Kurpfalz Gala di Weinheim, Jerman, Mei lalu membolehkannya menghuni kedudukan kedua 110m lari berpagar Asia Tenggara di belakang pelari Thailand, Jamras Rittidet yang mencatat masa terbaik 13.61s yang dilakukan pada 2014.

Peluang Rayzam Shah meraih emas KL2017 dilihat cerah kerana Jamras tidak akan menyertai temasya bulan depan kerana sudah bersara.

Selain Khairul Hafiz dan Rayzam Shah, empat lagi sandaran emas olahraga ialah dalam lompat tinggi lelaki, lempar cekera lelaki, lompat kijang lelaki serta baling tukul besi lelaki.

Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa berada dalam ranking terbaik Asia Tenggara dengan catatan terbaik 2.30m manakala jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin sukar diatasi lawan berikutan catatan terbaharunya 62.55m sudah mengatasi rekod Sukan SEA 59.50m milik Wong Tuck Yim dari Singapura.

Dua lagi atlet yang berpotensi meraih emas ialah Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dengan catatan terbaik 16.76m dan Jackie Wong, yang baru memecah rekod kebangsaan baling tukul besi lelaki dengan catatan 65.34m, bulan lalu.

Empat lagi acara yang dianggap memiliki peluang 50-50 untuk menghadirkan emas ialah baling tukul besi wanita (Grace Wong), lontar peluru lelaki (Adi Alifuddin Hussin, Muhammad Ziyad Zolkefli), lompat tinggi wanita (Yap Sean Yee) serta 4x100m lelaki.

Kesemua acara tersebut telah menunjukkan peningkatan positif apabila dengan catatan yang tidak terlalu jauh daripada pencabar utama mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here