KLANG – Anggota Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud meletak jawatan sebagai Naib Yang Dipertua PAS kawasan itu berkuatkuasa serta-merta bagi menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan oleh Gerakan Harapan Baharu (GHB) hujung bulan ini.

 

Turut sama meletak jawatan ialah 183 pemegang jawatan dari pelbagai peringkat termasuk Yang Dipertua kawasan itu Jaafar Samsudin dan sembilan ketua cawangan dalam PAS kawasan berkenaan.

 

Dr Siti Mariah berkata keputusan itu dibuat bagi menyahut seruan pemimpin tertinggi parti supaya anggota yang ingin menyertai wadah baharu iaitu GHB melepaskan jawatan mereka.

 

“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira pendekatan politik berbeza PAS pada masa ini yang tidak menunjukkan sebarang langkah perdamaian dengan rakan DAP,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini Rabu.

 

Beliau berkata PAS tidak menguruskan isu hudud dengan betul sehingga menyebabkan parti Islam itu memutuskan hubungan dengan DAP.

 

Mengenai status keanggotaannya dalam PAS, Dr Siti Mariah berkata ia akan tamat secara automatik selepas beliau menyertai GHB kelak yang dilihat sebagai satu wadah terbuka, inklusif serta berupaya menyatukan rakyat Malaysia.

 

Beliau turut menegaskan PAS kawasan Kota Raja tidak terbubar memandangkan beliau dan rakan-rakan lain yang meletak jawatan hari ini akan menyerahkan tugas masing-masing kepada baki 11 Anggota Jawatankuasa PAS kawasan malam ini.

 

Dalam sidang akhbar yang sama, AJK kawasan PAS Klang, Abdul Rashid Osman berkata seramai tiga AJK termasuk beliau meletak jawatan bagi menyertai GHB.

 

Turut mengikut jejak langkah itu adalah tiga AJK kawasan PAS Kapar.

 

Sementara itu, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata pentadbiran PAS Selangor tidak terjejas berikutan peletakan jawatan secara beramai-ramai dalam PAS kawasan Kota Raja.

 

Katanya, PAS Selangor telah mengambil alih pentadbiran PAS kawasan mengikut perlembagaan parti dan akan mengisi kekosongan yang ada.

 

“Kita dapati hanya segelintir kecil saja ahli PAS di peringkat kawasan dan cawangan yang terlibat bersama GHB, yang selebihnya kita dapati mereka yang bukan ahli PAS kita,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here