Hari ini Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan telah mengumumkan struktur kepimpinannnya dan menunjukkan PH kini bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 di samping mengekalkan dominasi kukuh di kawasan bandar khasnya ibu kota, Kuala Lumpur. Sejak pilihan raya umum ke-12, pakatan pembangkang telah menjadikan Kuala Lumpur sebagai kubu kuat dan usaha berkenaan akan diteruskan melalui pembentukan struktur baru ini.

Selepas Pulau Pinang dan Sarawak, Parti Tindakan Demokratik (DAP) sekali lagi dilihat menguasai tampuk kepimpinan PH di negeri-negeri dan kali ini PH Wilayah Persekutuan memilih Tan Kok Wai sebagai Pengerusi di samping empat Timbalan Pengerusi dan Empat Naib Pengerusi yang masing-masing satu dari setiap parti komponen dalam PH. Setiausaha PH Wilayah Persekutuan juga dipegang dari DAP iaitu Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Namun begitu, di sebalik pengumuman dan semangat berkobar-kobar PH di Wilayah Persekutuan, kehilangan nama Ahli Parlimen Lembah Pantai dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dari barisan kepimpinan ini agak memeranjatkan. Beliau sebelum ini dilihat sebagai pemimpin yang agak kuat di Wilayah Persekutuan dan berjaya mendapatkan jumlah undi yang signifikan di kawasannya. Di samping itu, sepanjang di Parlimen, Nurul juga sering membawakan isu-isu setempat berkaitan kehidupan warga kota untuk dibahaskan.

Kehilangan nama Nurul ini sukar untuk dijelaskan melainkan atas sebab-sebab tertentu. Salah satu faktor yang mungkin menyebabkan nama Nurul tidak tersenarai ialah kemungkinan beliau dalam pilihan raya umum akan datang tidak akan mempertahankan kerusi Lembah Pantai dan dilihat akan bertanding di negeri lain. Namun kemungkinan besar bukan di Pulau Pinang kerana nama Nurul juga tidak berada dalam barisan kepimpinan tertinggi PH di negeri berkenaan.

Ke manakah destinasi Nurul kini masih menjadi tanda tanya dan jika Nurul masih kekal di Lembah Pantai, adalah tidak wajar untuk namanya tidak berada dalam senarai kepimpinan berdasarkan pengaruh dan keupayaannya sebagai Ahli Parlimen. Kehilangan nama besar seperti Nurul dalam barisan kepimpinan boleh dianggap sebagai satu kehilangan misteri dan meragukan. Kita tidak pasti sama ada PH sudah mula meragui kualiti kepimpinan Nurul atau mempunyai sebab-sebab lain.

Satu lagi hal yang boleh dikaitkan dengan misteri ini ialah kemungkinan besar Nurul mahu diberi peluang untuk fokus kepada kedudukannya sebagai Ahli Parlimen dan tugas-tugas parti dan gabungan politik akan diserahkan kepada pihak lain. Ini juga satu perkara yang boleh diteliti. Semasa pengumuman berkenaan dibuat juga tiada sebarang kenyataan menyentuh mengenai peranan Nurul, malah beliau juga dikatakan tidak hadir ke sidang media pengumuman pembentukan barisan kepimpinan berkenaan.

Ke mana pun hilang nama Nurul Izzah, PH kini dilihat sedang merencana pendekatan baru untuk mengukuhkan kedudukan di Wilayah Persekutuan dan Barisan Nasional (BN) wajar mempunyai pendekatan politik lebih baik dari itu untuk kembali memenangi hati orang bandar jika benar-benar mahu kembali menguasai ibu kota Kuala Lumpur. Adalah agak kurang manis jika berjaya menguasai negara, tetapi ibu kota kekal dipegang pembangkang.

1 COMMENT

  1. Besar kemungkinan YB Nurul Izzah merasa akan gagal mempertahan kerusi parlimen Lembah Pantai.
    Jadi, beliau berpindah kerusi parlimen untuk bertanding pada PRU 14.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here