pru14

Sekurang-kurangnya empat pemimpin utama Pakatan Harapan difahamkan sudah bersedia bertanding di Johor pada PRU14.

Pemimpin yang dimaksudkan ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Strategi Harapan untuk meletakkan pemimpin-pemimpin penting bertanding di Johor adalah bagi membuktikan kesungguhan mereka untuk terus menggempur kubu kuat Umno seperti dalam PRU lalu.

Analisis yang dibuat oleh Oriental Daily menunjukkan penubuhan Bersatu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin, walaupun tidak mencetuskan gelombang ahli Umno keluar secara beramai-ramai daripada parti, tetapi ini tidak bermakna Umno mampu meneruskan pencapaiannya seperti PRU lalu.

Pada PRU lalu, pakatan pembangkang Johor memperoleh rekod terbaik apabila memenangi lima kerusi parlimen daripada 26 kerusi dipertandingkan.

Akhbar ini difahamkan, Kit Siang dikatakan akan bertanding di selatan Johor, sementara Muhyiddin pula mengetuai barisan pembangkang untuk bertanding di utara Johor.

Selain itu, Salahuddin dikatakan akan terus bertanding di salah satu kerusi parlimen negeri berkenaan.

Manakala PKR dipercayai akan meletakkan beberapa pemimpin utamanya seperti Nurul Izzah; Ketua Penerangan, Syed Ibrahim Syed Noh dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk menghadapi tentangan daripada Umno.

Menurut sumber dalaman, Kit Siang akan kekal bertanding di selatan Johor, kemungkinan akan terus mempertahankan kerusinya di Gelang Patah ataupun di Johor Bahru. Ia terpulang kepada perbincangan yang diadakan antara pemimpin Harapan.

Sumber dalaman itu memberitahu, selain tenaga Muhyiddin diperlukan untuk terus memperluaskan pengaruh Bersatu di utara Johor, Ketua Pemudanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut difahamkan akan dipilih bertanding di Johor.

“Kini semuanya tertumpu pada Bersatu. Kemungkinan lebih ramai pemimpin peringkat tertinggi bertanding di Johor, terutama di sebelah selatan,” tulis akhbar ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here