Nothing To Hide 2.0

FORUM Nothing to Hide 2.0 anjuran Pemuda PPBM yang berlangsung petang semalam di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam bertukar kecoh setelah ada individu yang mula membaling kasut, kerusi dan botol air sebelum melontar suar yang dinyalakan ke arah pentas di mana Tun Dr. Mahathir sedang berdiri dan menyampaikan ucapan.

Dewan tempat berlangsungnya forum itu kemudiannya dipenuhi asap dan dilaporkan berlaku insiden tumbuk menumbuk ketika beberapa ahli PPBM meluru ke arah pentas untuk melindungi bekas perdana menteri yang ke-empat itu.

Sehingga semalam, polis mengesahkan seramai tiga suspek yang berusia antara 17 hingga 19 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Apa yang berlaku semalam sememangnya sesuatu yang mengejutkan. Forum yang pada awalnya berjalan dengan baik dan dijamin sendiri tahap keselamatannya oleh penganjur akhirnya bertukar menjadi tidak terkawal, lantas mempamerkan satu lagi budaya samseng dalam kancah politik tanahair.

Tambah membimbangkan, kesemua suspek yang ditahan masih lagi di bawah umur yang belum pun melayakkan mereka untuk mengundi.

Hakikat ini secara langsung menimbulkan persoalan mengenai siapa sebenarnya suspek yang terlibat dan siapa pula dalang yang bertanggungjawab di sebalik kekecohan yang berlaku.

Suar yang entah bagaimana lepas dibawa masuk ke dalam dewan membuktikan bahawa kekecohan yang ditimbulkan sememangnya telah dirancang lebih awal dan menggunakan pelajar atau pun remaja belasan tahun sebagai alat politik bukanlah satu modus operandi asing bagi sesetengah parti politik di Malaysia.

Biarpun insiden ini masih dalam siasatan polis, sentimennya jelas dalam kalangan aktivis politik pembangkang. Kekecohan ini didakwa mereka didalangi UMNO. Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin pula menasihatkan semua pihak agar tidak menuding jari.

Apa pun, insiden semalam hanya memperlihatkan kepada kita bahawa gengsterisme ataupun budaya samseng dalam politik tanah air sememangnya sudah sampai ke tahap yang parah. Situasi ini seharusnya sangat kita bimbangkan ketika negara sedang menghampiri Pilihan Raya Umum-14 (PRU14) yang paling lewat perlu diadakan pada suku pertama tahun depan.

Hujung bulan yang lalu iaitu pada 25 Julai 2017, kita melihat bagaimana Pemuda UMNO dan Pemuda PPBM (ARMADA) berperang mulut dan hampir bertumbuk berdekatan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika ARMADA berarak bagi menyampaikan jemputan kepada perdana menteri untuk berdebat dengan Tun Dr. Mahathir dalam forum yang berlangsung semalam.

Apa yang menyedihkan, budaya samseng sebegini rata-ratanya melibatkan orang Melayu. Secara langsung, parti-parti politik seperti UMNO, PPBM dan PKR turut terkait. Sudahlah orang Melayu sendiri berpecah kepada begitu banyak parti politik, hari ini mereka sanggup pula bertumbuk demi mencapai matlamat politik masing-masing.

Tidak pasti apakah yang mahu mereka buktikan kepada khalayak dan pemimpin parti masing-masing, tetapi yang jelas apa yang cuba ditonjolkan oleh budaya samseng sebegini bukanlah sesuatu yang baik untuk kita pertontonkan kepada anak muda yang juga generasi pewaris bangsa kita.

Mengapa perlu hairan aktiviti samseng dan buli dalam kalangan pelajar yang begitu banyak kita dengar berlaku di banyak institusi pendidikan di pelbagai peringkat jika mereka yang bergelar dewasa pun masih lagi menunjukkan contoh yang tidak baik di khalayak?

Kita bimbang jika budaya samseng sebegini tidak dibendung dan dikawal, ianya akan membawa kepada pertembungan yang tidak diingini pada PRU14 yang akan datang. Kita sedia maklum bahawa PRU yang akan datang bakal menyaksikan persaingan parti-parti politik yang paling banyak dalam sejarah.

Pastinya dengan fakta dan hakikat tersebut, kita mengharapkan persaingan dan pertembungan yang sihat dan harmoni antara kesemua parti yang bertanding. Walau bagaimanapun, dengan iklim politik seperti yang terjelma semalam, masihkah ada harapan untuk kita melihat acara-acara politik bebas dari sebarang provokasi dan konfrontasi fizikal yang menjelikkan?

Malang sekali, ketika negara sedang dipacu dengan banyak perubahan dan tatkala negara berada di landasan yang baik dalam menggapai status negara maju, sebahagian orang Melayu masih sanggup dipergunakan dan terikut-ikut dengan budaya politik yang tidak bertamadun.

Memegang salah satu rukunegara iaitu kesopanan dan ketatasusilaan, rakyat yang matang pastinya akan menolak dan berasa muak dengan budaya politik khianat sebegini yang boleh menghancurkan ketenteraman dan keharmonian masyarakat.

Orang Melayu khususnya harus sedar bahawa pengamalan politik kebencian yang tidak berasas mungkin boleh memberi keuntungan jangka pendek, namun mudaratnya lebih besar dalam pembinaan tamadun bangsa untuk jangka masa panjang. Jangan sampai puas menang sorak, kampung kita pula tergadai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here