khazanah

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, berkuatkuasa 30 September ini.

Khazanah dalam kenyataan media hari ini berkata, Nor Mohamed menyatakan perkara itu ketika mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah ke-84, hari ini.

“Beliau juga akan melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah berkuatkuasa pada tarikh yang sama,” kata kenyataan itu.

Nor Mohamed yang juga bekas menteri kewangan kedua sebelum ini mengakui turut bertanggungjawab dalam perdagangan mata wang asing yang menyebabkan kerugian besar kepada negara pada 1990-an.

Beliau yang memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung perkara itu awal bulan lalu berkata, sebagai ketua urus niaga, beliau memikul tanggungjawab dan kemudian meletakkan jawatan daripada Bank Negara.

RCI itu menamatkan prosidingnya hari ini, selepas memanggil 25 saksi termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Khazanah Datuk Seri Najib Razak mengucapkan penghargaan kepada Nor Mohamed atas sumbangannya, terutama berhubung Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan yang bermula sejak 2004.

“Ahli lembaga pengarah menerima keputusan itu dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya,” kata Najib dalam kenyataan sama.

Khazanah berkata lagi, Nor Mohamed merupakan ahli lembaga pengarah paling lama berkhidmat, iaitu selama 15 tahun, serta menjadi satu-satunya timbalan pengerusi sepanjang penubuhan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu.

Katanya lagi, antara sumbangan Nor Mohamed adalah dalam pembangunan pelbagai koridor ekonomi seperti Iskandar Malaysia di Johor, serta peranannya sebagai penasihat ekonomi kepada perdana menteri (2000-2003) dan menteri di jabatan perdana menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancangan Ekonomi (2009-2013).

“Pengurusan dan kakitangan Khazanah dengan setulus hati menyatakan penghargaan dan terima kasih terhadap sumbangan cemerlangnya terhadap Khazanah dan negara,” kata Khazanah lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here