KUALA LUMPUR, 12 Sept – Ringgit dijangka tidak banyak berubah minggu depan menjelang keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengenai kadar faedah dan pemulihan harga komoditi.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan, berkata punca utama ketidaktentuan berterusan adalah Fed, memandangkan kemungkinan AS meningkat kadar faedah bagi pertama kali dalam tempoh hampir sedekad, terus mempengaruhi pasaran.

“Kita, bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan kecil bahawa Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed akan mengekalkan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.

Nazri berkata penyusutan ringgit baru-baru ini akan menjadi kebaikan kepada lebihan akaun semasa, pengeksport dan pembuat tempatan.

Sementara itu, seorang peniaga lain berkata ringgit dijangka mencecah julat antara 4.25 dan 4.45 berbanding dolar AS minggu depan, menjejaki faktor luaran, termasuk harga minyak mentah.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.3150/3200 berbanding 4.2560/2610 Jumaat lepas.

Unit tempatan itu turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0510/0569 daripada 3.0040/0085 sebelum ini dan lemah berbanding yen kepada 3.5812/5868 daripada 3.5738/5792 minggu lepas.

Ringgit juga susut berbanding pound kepada 6.6576/6679 daripada 6.4849/4933 dan rendah berbanding euro kepada 4.8716/8781 daripada 4.7408/7468 minggu lepas.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here