Nik Michael menyifatkan kailnya baru panjang sejengkal untuk menduga lautan ilmu masakan dan mendabik dada sebagai cef profesional, walaupun sudah lebih empat tahun berkecimpung dalam bidang kulinari.

Baginya, selama bergelar cef dan terlibat dalam pelbagai program masakan, semua pengalaman itu adalah langkah terbaik buatnya mengembangkan bakat dalam bidang kulinari.

“Saya masak makanan yang saya tahu dan mahu kongsikan dengan semua orang. Dalam setiap masakan yang saya hasilkan, ia membawa karakter dan keperibadian saya selaku cef yang sukakan perkara baharu dan mencuba kepelbagaian.

“Orang pandang saya sebagai cef kacukan, tetapi itu bermakan saya hanya tahu membawa menu Barat sahaja. Ironi, saya sangat suka kepelbagaian menu sebab selaku cef, saya harus pelbagaikan gaya dan cara masakan,” ujarnya.

Ujar cef yang lahir daripada perkahwinan campur Melayu-Australia itu, dia kini tampil dengan sebuah program masakan berjudul Cooking For Love yang telah bersiaran sejak 8 September lalu menerusi Astro Asia Food Channel (AFC) saluran 703.

Tambah menarik, program yang bersiaran selama enam episod tersebut menampilkan gandingan Nik Michael dengan pengacara program Food Hero kelahiran negara Singapura, Sarah Benjamin.

Lain daripada yang lain, program tersebut cuba lari daripada kebiasaan apabila mengetengahkan konsep memilh tetamu ke studio untuk menentukan menu pilihan yang bakal dimasak Nik dan Sarah.

Tetamu yang dipilih secara rawak itu akan mengusulkan tiga menu pilihan mereka kepada Nik dan Sarah mengikut cita rasa pilihan sendiri. Pada penghujung setiap episod, keputusan pemenang dibuat berdasarkan pilihan menu mana yang menambat selera dan hati tetamu undangan.

“Sejujurnya, pengalaman terlibat dalam program seumpama ini sangat menyeronokkan sebab saya dan Sarah mempunyai latar belakang yang sama. Saya pernah terlibat dalam beberapa program masakan, begitu juga dengan Sarah yang pernah terlibat dalam dokumentari masakan.

“Jadi, tidak susah untuk kami mendapatkan keserasian di hadapan kamera biarpun dalam program itu, kami berdua berlumba-lumba untuk menang dan mempersembahkan menu terbaik,” ujarnya.

Sepanjang menjalani penggambaran, Nik terpaksa berhadapan dengan cabaran dalam penyediaan makanan apabila ada antara tetamu mengusulkan jenis menu yang tidak pernah dimasak sebelum ini.

“Konsep program ini sangat menarik, ia kelihatan jujur. Individu yang tidak dikenali datang sebagai tetamu dan mereka menentukan apa yang harus kami masak. Dari situ ia dapat mengasah bakat masakan saya dengan pelbagai menu kerana ada antara mereka meminta menu peranakan Baba-Nyonya dan Indonesia.

“Saya harus belajar dan kaji menerusi internet tentang jenis makanan berkenaan. Saya gembira dapat melakukan perkara baharu dan kongsikan dengan penonton,” tuturnya.

Beralih kepada kisah peribadi, bekas peserta Masterchef Malaysia musim pertama itu mengumumkan bakal menamatkan zaman bujangnya dengan seorang gadis pilihan hati pada November nanti.

Memilih seorang gadis bernama Nadiah Shahril sebagai teman sehidup semati, setakat ini segala persiapan majlis perkahwinannya berjalan dengan lancar setakat ini biarpun diuruskan sendiri.

Kata Nik, hidup tanpa kasih sayang seorang ibu akibat perceraian menguatkan kecekalan hatinya untuk menjadi seorang yang pandai berdikari.

“Hidup tanpa ibu merupakan sesuatu yang sangat mencabar. Lebih-lebih lagi apabila saya mula meningkat dewasa dan sudah mahu berumah tangga. Kalau orang lain, selalunya mereka dibantu ibu apabila melibatkan urusan perkahwinan.

“Namun, segala persiapan berjalan dengan lancar walaupun semuanya diuruskan sendiri. Sekarang hanya tunggu masa untuk hari besar. Bab makanan tiada masalah memandangkan saya seorang cef, jadi ia adalah di bawah bidang kuasa saya,” selorohnya sambil ketawa besar.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here