Impian ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David (gambar) untuk kembali merampas kedudukan selaku pemain nombor satu dunia terkubur apabila terkandas di suku akhir Kejohanan Terbuka China, semalam.

Nicol terpaksa menyerah kalah kepada pemain bukan pilihan dari Mesir Nouran Gohar apabila tewas dalam pertarungan empat set 11-9, 8-11, 5-11, 8-11.

Diletakkan sebagai pilihan pertama Nicol bermula garang apabila menang set pertama 11-9, namun rentak tidak konsisten menyebabkan dia tunduk di set kedua.

Langkah Nicol bagaikan serba tidak mengena apabila hasrat untuk bangkit di set ketiga tidak kesampaian sebaliknya mudah dibelasah lawan dan terpaksa akur dengan kekalahan 5-11 sebelum menyerah kalah kepada Nouran yang kini menghuni ranking ke-13 dunia.

Bagi Nouran kemenangan itu pastinya membakar semangatnya untuk terus berjuang memburu kejuaraan selepas bergelar juara remaja dunia dan meraih gelaran sulung dalam siri jelajah di Terbuka Prague pada 2013.

Menanti Nouran pada pusingan separuh akhir adalah pilihan ketiga kejohanan dari Perancis Camilee Serme yang melakarkan kemenangan menewaskan Sarah-Jane Perry dari England.

Kekalahan Nicol pasti memberi khabar gembira buat seteru utamanya Raneem El Welily.

Kedudukan Raneem selaku pemain ranking pertama dunia akan bertahan lebih lama seandainya pilihan kedua itu berjaya muncul juara di kejohanan yang menawarkan hadiah kemenangan bernilai RM2343,600.

Raneem mara ke suku akhir selepas lawannya dari Hong Kong Annie Au menarik diri selepas beraksi dua set.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here