Tujuh belas NGO dan 107 warganegara prihatin memulakan satu inisiatif yang menggesa BN dan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri masing-masing menjelang pilihan raya umum akan datang.

Mereka memberi amaran kepada HARAPAN bahawa ia akan menghadapi risiko kehilangan ketinggian moral untuk memperjuangkan nilai-nilai universal seperti keadilan sosial, hak-hak asasi dan kebertanggungjawapan jika menamakan Mahathir untuk jawatan tertinggi itu.

“Kegagalan HARAPAN terbesar adalah kenyataan bahawa, sementara mengkritik salahlaku BN, HARAPAN menutup satu mata terhadap rekod dahsyat bekas perdana menteri tersebut dalam nilai demokrasi, dan memberi tanggapan kepada orang awam bahawa ia telah tunduk kepada budaya ‘bebas daripada hukuman’ dan kini meletakkan kehendak partisan lebih tinggi daripada prinsip demokrasi dan kebaikan rakyat.

“Penyesuaian politik ini sudah tentu bukan satu perkembangan positif kepada orang Malaysia yang mengharapkan perubahan.

“Pada pandangan kami, salahlaku yang menjejaskan kepentingan negara adalah sangat serius, tidak kira ianya dilakukan oleh kerajaan sekarang atau kerajaan lepas. Ini termasuk 1MDB, tindakan keras terhadap perhimpunan BERSIH, pembunuhan Teoh Beng Hock, skandal pertukaran asing yang membabitkan Bank Negara pada tahun 1990-an, Operasi Lalang pada tahun 1987, Projek IC, pemecatan bekas hakim Mahkamah Agung pada tahun 1988 dan banyak lagi.

“Dengan melucutkan tanggungjawab Mahathir, HARAPAN telah hilang ketinggian moral untuk mendesak penyingkiran dan pendakwaan Najib,” kata mereka dalam satu kenyataan media.

Memandangkan ini, mereka menggesa BN dan HARAPAN supaya menyingkirkan kedua-dua Najib dan Dr Mahathir serta memilih mereka yang berintegriti tinggi untuk memastikan tadbir urus yang baik dan institusi awam berfungsi dengan baik.

NGO dan warganegara prihatin berkenaan juga mengutuk helah politik yang berpaksikan kaum dalam hal kedudukan pemimpinan utama negara.

“Terutamanya, ulasan berulangkali oleh pemimpin Umno bahawa masyarakat Melayu akan dipinggirkan di bawah satu kerajaan yang didominasi oleh DAP ‘Cina’ adalah amat menjijikkan.

“Selain itu, Presiden PAS (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang telah mencadangkan secara terbuka bahawa jawatan ketua negara dan anggota kabinetnya hanya boleh dijawat oleh mereka yang ‘beraqidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh’. – Malaysiakini –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here