Ahli Parlimen Pandan merangkap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kononnya diangkat sebagai wira kerana mendedahkan isu berkaitan National Feedlot Corporation (NFC). Segala fitnah yang disusun Rafizi sehingga menjadi seperti sesuatu yang benar telah menjerat rakyat dengan pelbagai kenyataan yang mengelirukan. Malah Rafizi sebenarnya banyak menggunakan kaedah tidak menepati undang-undang dalam menyampaikan maklumat berkaitan isu berkenaan. Kita lihat bagaimana Rafizi cuba mengolah pandangan orang ramai bahawa berlaku masalah besar dalam isu NFC.

Namun apa yang dilemparkan Rafizi kekal sebagai satu fitnah yang hanya memakan diri dan rakan-rakan parti di dalam PH sahaja. Percubaan untuk mengangkat Rafizi sebagai wira bukanlah satu langkah bijak kerana tanpa kita sedar, PH sedang mengajar rakyat untuk menerima seorang individu yang melanggar undang-undang sebagai wira. Ini merupakan satu tindakan yang tidak wajar diterima dan hanya cuba menggunakan kesempatan terhadap rakyat.

Dalam hal berkaitan NFC ini Rafizi dan PH menyerang habis-habisan Kerajaan, namun mereka terlupa sesuatu bahawa projek NFC ini diluluskan semasa Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang menjawat jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Namun, demi membela nasib PH dan bersikap pilih kasih, Rafizi dan pemimpin PH langsung tidak mengaitkan Muhyiddin dengan isu ini. Malah terdapat percubaan dalam PPBM sendiri cuba mempertahankan Muhyiddin. Jika benar PH telus dalam isu ini dan bukan untuk dijadikan modal politik, maka mereka seharusnya membuat pendedahan denan mendapatkan kenyataan menyeluruh dari Muhyiddin.

Namun hal ini tidak terjadi dan jelas kepada kita bahawa NFC ini hanya satu modal politik murah yang cuba ditabur pembangkang untuk memburukkan keadaan. Sikap berdiam diri Muhyiddin di dalam isu ini juga membuktikan bahawa beliau mengerti tentang keadaan sebenar. Namun agak menghairankan untuk Muhyiddin yang langsung tidak berminat untuk membetulkan kesilapan Rafizi dalam membesar-besarkan isu ini.

Sikap pilih kasih pembangkang membuktikan mereka tidak jujur dalam memperjuangkan integriti dan ketelusan. Semuanya dilakukan demi kepentingan masa depan politik masing-masing. Malah pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang pernah membangkitkan hal berkaitan NFC ini pada 2011 dan menyatakan Muhyiddin merupakan individu paling tepat untuk membuat kenyataan berkenaan isu itu. Namun kini, di tahun 2018, Kit Siang juga sunyi dan sepi daripada mendesak Muhyiddin.

Sikap hipokrit seperti ini bukanlah satu sikap yang sihat, malah meruntuhkan usaha untuk membentuk budaya politik matang dan sejahtera. Rakyat sebenarnya cuba dikelirukan dengan fakta-fakta yang dimanipulasi. Malah diam Muhyiddin dalam isu ini boleh dipersoalkan dan beliau seperti tidak mahu bertanggungjawab terhadap segala rekaan fakta Rafizi. Rakyat kini boleh terbuka mata dan menilai dengan jujur bagaimana PH berpolitik dan bagaimana rakyat digunakan dengan mudah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here