Mahathir

PEMBABITAN Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam gerakan menjatuhkan pemimpin negara tidak menghairankan kerana ia bukan satu perkara yang baharu dalam pentas politik Malaysia.

Sejarah membuktikan, perbuatan sama pernah dilakukan Mahathir yang kini merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ketika era bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Tindakan menjatuhkan pemimpin yang tidak sebulu dengannya adalah perkara biasa bagi Mahathir, malah berlarutan sehingga kini.

Perkara sama turut menimpa beberapa bekas pemimpin terkemuka UMNO sebelum ini antaranya Tun Ghafar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada 14 Julai lepas, Mahathir yang kini bersama Pakatan Harapan diketuai DAP mengakui bahawa usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah dimulakan sejak tahun 2014 lagi.

Pengakuan tersebut dibuat oleh Pengerusi PPBM itu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semasa perbicaraan kes saman anaknya, Datuk Seri Mukhriz terhadap Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad atas dakwaan memfitnah.

Persoalannya, kenapa Mahathir sering bertindak sedemikian iaitu menjatuhkan pemimpin yang tidak sebulu dengannya?

Apa sebenarnya yang Mahathir mahu?

Sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri, adakah wujud tindakan untuk menjatuhkan Mahathir?

Mahahir sendiri mengumumkan melepaskan jawatannya dan kenapa beliau kini ibarat cacing kepanasan dan seolah-olah terdapat sesuatu yang belum dicapainya?

Apakah perkara itu? Pastinya hanya Mahathir sendiri yang mengetahuinya.

Jika tidak, bekas Perdana Menteri itu tentu tidak akan bersungguh-sungguh menjatuhkan Najib yang dilakukannya sejak 2014 lagi.

Pastinya ada sesuatu berkaitan politik yang ingin dicapai Mahathir?

Adakah Mahathir mahu melihat Mukhriz menjadi Perdana Menteri? Mungkin ini antara sebab Mahathir cuba menjatuhkan Najib.

Gerakan untuk menggulingkan Najib yang dikaitkan dengan Mahathir bukan lagi rahsia berikutan beberapa blogger pro-bekas Perdana Menteri itu giat meningkatkan serangan dan kritikan terhadap Najib.

Selain Datuk A. Kadir Jasin; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin juga secara terbuka mengkritik kelemahan Najib.

Kritikan terbuka Daim segera dikaitkan dengan Mahathir berikutan mereka mempunyai hubungan rapat yang kekal sehingga ke hari ini.

Mahathir dan Daim juga dikatakan selalu bertemu untuk berbincang berkenaan isu politik semasa.

Selain itu, Mahathir juga menggunakan media asing dan negara luar untuk mengkritik kepimpinan Najib.

Mahathir kini sudah berusia 92 tahun, apa lagi yang diinginkannya?

Mahathir juga dibantu oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjatuhkan Najib.

Perkara itu juga disahkan sendiri oleh Mukhriz.

Kenapa usaha Mahathir sejak 2014 itu gagal sehingga kini?

Ini kerana amalan menurunkan pemimpin negara melalui demonstrasi jalanan sukar dilaksanakan di negara ini walaupun berjaya dilakukan di beberapa negara lain.

Perkara itu diakui oleh Presiden PAN, Mohamad Sabu.

Selain itu, Mat Sabu juga memaklumkan usaha menjatuhkan pemimpin ketika ini menggunakan saluran pilihan raya juga sukar dilaksanakan kerana masih belum mendapat sambutan rakyat.

Apakah hukum menghasut rakyat menjatuhkan pemimpin negara?

Hukum menghasut rakyat menjatuhkan pemimpin adalah haram di sisi Islam, selagi pemerintah itu masih berpegang kepada ajaran agama dan tidak mengajak rakyat melakukan maksiat.

Perbuatan menjatuhkan pemimpin dilarang, sekalipun pemimpin itu zalim dan tidak memenuhi tuntutan serta hak rakyat.

Sekiranya ingin menukar pemimpin, ia perlu dibuat menggunakan saluran demokrasi iaitu melalui pilihan raya.

Adakah Mahathir tidak mengetahui perkara ini?

Sudah tentu Mahathir mengetahuinya tetapi semua itu diabaikan demi kepentingan politik yang ingin dicapainya.

Jika tidak, Mahathir tidak akan bersekongkol dengan pembangkang terutamanya DAP yang dahulu pernah digelarnya sebagai parti rasis.

Mahathir juga membuat pusingan U apabila sedia menerima Anwar sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang PRU-14 nanti.

Untuk apa semua perkara itu dilakukan Mahathir?

Jika tiada agenda, Mahathir pasti tidak melakukannya.

Di usia lebih 90 tahun, bekas Perdana Menteri itu seharusnya bermuhasabah diri dan apa yang lebih penting mendekatkan diri dengan Allah.

Lupakan soal politik kerana Mahathir sudah 22 tahun menjadi Perdana Menteri. Ianya bukan suatu tempoh yang singkat.

Bagaimanapun, rakyat kini tertanya-tanya apa lagi yang Mahathir inginkan setelah melalui tempoh masa yang lama sebagai pemimpin negara?

Mungkin ada sesuatu yang belum dicapainya sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu. Apakah perkara itu? Hanya Mahathir mengetahuinya.

Mahathir pastinya tidak akan berhenti untuk menjatuhkan Najib selagi hasratnya itu tidak tercapai.

Sampai bila Mahathir akan berbuat demikian?

Perangkap Mahathir tidak mustahil akhirnya akan makan dirinya sendiri.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here