Sudah sampai masanya para majikan bagi semua sektor dalam negara kita baik di sektor awam mahupun di sektor swasta untuk mempertimbangkan bagi menaikkan kadar gaji para pekerja mereka. Cadangan bagi menaikkan kadar gaji adalah penting bukan sahaja bagi membantu para pekerja menghadapi cabaran suasana ekonomi pada masa kini yang kian mencabar malah bagi mengekang jenayah berkaitan dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Baru – baru pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa pihak kerajaan melihat dan mengkaji semula skim gaji serta kebajikan anggota dan pegawai agensi penguatkuasa di negara ini khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai langkah bagi mengelak anggota dan pegawai agensi penguatkuasa dalam negara kita terjerumus ke dalam kancah rasuah dan salah guna kuasa.

Cadangan yang diberikan oleh pihak SPRM terbabit adalah wajar dalam usaha membendung masalah rasuah dan salah guna kuasa dalam negara kita. Namun, cadangan terbabit perlu diperluaskan lagi dengan meliputi semua pekerja di semua sektor dalam negara kita. Sekiranya kita ingin melihat isu rasuah dan salah guna kuasa dalam negara kita dikurangkan atau dihentikan, gaji semua pekerja dalam negara kita perlu diambil kira juga serta perlu dipertimbangkan untuk dinaikkan.

Walaupun terdapat banyak cara bagi membendung masalah rasuah dan salah guna kuasa namun langkah bagi menaikkan gaji dilihat penting bagi mengelakkan seseorang itu mudah terpukau dengan wang ringgit sehingga menjebakkan diri mereka ke kancah rasuah atau salah guna kuasa. Antara punca utama yang boleh menyebabkan seseorang itu terjebak ke kancah rasuah dan salah guna kuasa adalah disebabkan faktor kurangnya punca pendapatan sedia ada bagi menghadapi beban kos sara hidup yang kian meningkat.

Sekiranya seseorang pekerja itu tidak dapat memperolehi pendapatan yang sepadan dengan keadaan semasa, amat mudah bagi mereka untuk terpukau dan tergoda dengan segala bentuk tawaran wang ringgit serta menyalahgunakan kuasa dan kedudukan yang ada pada diri mereka untuk menjalankan aktiviti – aktiviti yang tidak sihat serta yang menyalahi undang – undang.

Gaji atau punca pendapatan yang kurang juga terutamanya bagi mereka yang mempunyai keluarga untuk ditanggung sudah pasti akan menyebabkan pekerja berkenaan berasa dalam keadaan tertekan sehingga akhirnya memaksa diri mereka untuk melakukan perkara yang salah.

Oleh itu, sudah sampai masanya pihak – pihak yang berkaitan khususnya pihak majikan dalam negara kita baik majikan dari sektor awam mahupun disektor swasta menilai semula gaji yang diberikan selama ini kepada pekerja mereka serta menaikkannya bagi meringankan beban para pekerja dalam menghadapi beban kos sara hidup pada masa kini serta bagi mengatasi masalah rasuah dan salah guna kuasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here