Sebelum berjanji untuk memberi bonus atau kenaikan gaji atau sebarang elaun dan kemudahan tambahan kepada para pekerjanya, pihak pengurusan sesebuah syarikat akan melihat penyata kewangan terlebih dahulu.

Berapa hutang yang ada? Berapa simpanannya? Apakah aliran tunainya positif? Apakah kos operasi sebulan? Apakah ada pendapatan yang dapat menampung kos operasi untuk 6 bulan akan datang? Apakah ada komitmen perbelanjaan besar di sepanjang tahun baru ini?

Kemudian, pihak pengurusan akan membuat unjuran pendapatan dan juga kos syarikat.

Dari sudut pendapatan, persoalan utama ialah di manakah syarikat akan mendapatkan sumber pendapatan? Berapa pelanggan di dalam tangan? Berapakah projek berpotensi tinggi dan sederhana? Apakah harga perlu dinaikkan untuk menambah pendapatan? Sekiranya harga dinaikkan, apakah pelanggan akan terima atau lari?

Dari sudut kos pula, berapa peratus yang perlu ditanggung oleh operasi dari sudut gaji dan pembelian bahan mentah? Sekiranya keseluruhan gaji pekerja dinaikkan pada purata 5%, apakah impaknya kepada kos dan keuntungan syarikat? Sekiranya kos terlalu tinggi sehingga mengurangkan keuntungan syarikat, apakah ada pekerja yang boleh dibuang?

Bolehkah sesuatu projek dilaksanakan dengan pengurangan sebanyak 20% tenaga pekerja dan bahan mentah?Apakah impaknya kepada kos syarikat jika ingin melaksanakan cuti 3 bulan bagi pekerja wanita bersalin?

Pendek kata, apa-apa keputusan yang diambil oleh syarikat akan memberikan impak kepada kos dan keuntungannya. Risiko syarikat bertambah sekiranya separuh saluran sumber pendapatan syarikat bersifat tidak tetap.

Oleh itu, sebelum memberikan janji kepada para pekerja, semua majikan akan berfikir semasak-masaknya sebelum keputusan diambil kerana satu keputusan silap boleh merosakkan syarikat untuk jangka panjang.

Motif dunia perniagaan mudah – tingkatkan pendapatan dan kurangkan kos agar keuntungan meningkat dan syarikat dapat menggunakan keuntungan itu untuk menambah gaji serta memberi bonus kepada pekerjanya dan membuat pelaburan untuk meningkatkan pendapatan syarikat pada tahun-tahun akan datang agar kenaikan gaji dan bonus pekerja terus terjamin.

Tetapi, dunia politik menjelang pilihan raya umum ini lain. Asalkan dapat meyakinkan rakyat untuk memberikan undi, pemimpin politik berjanji macam-macam, termasuk yang tidak masuk akal.

Contohnya, pembangkang sering menjadikan peningkatan kos sara hidup rakyat sebagai isu.

Cadangan pertama yang didengari ialah memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Bagus nak mansuhkan GST, tetapi apakah peniaga yang sudah biasa menjual nasi goreng kunyit pada harga RM7 sebungkus akan menurunkan harganya kepada RM5 kerana GST dimansuhkan? Sudah pasti tidak.

Jadi, cadangan memansuhkan GST bukan sahaja menyebabkan negara kehilangan pendapatan, tetapi rakyat juga tidak mendapat sebarang manfaat kerana kebanyakan harga barangan yang dijual hari ini sudah tertera harganya termasuk GST. Tanpa GST, apa yang dibayar untuk GST terdahulu akan menjadi untung bersih bagi peniaga.

Cadangan ke-2 paling gemar digemakan ialah penjimatan berpuluh bilion dapat dilakukan sekiranya terhapusnya rasuah dan ketirisan. Bagus idea ini, tetapi persoalannya bagaimana seseorang itu dapat berjimat RM10 sehari, kalau pendapatan sehariannya tidak sampai RM10 sehari?

Berjimat ini bagus, tetapi syaratnya pendapatan perlu cukup dan melebihi perbelanjaan seharian terlebih dahulu. Bagaimana penjimatan boleh dibuat jika pendapatan tidak cukup? Berjimat melalui hutang untuk menampung kos itu bukan berjimat.

Dari sudut kos, tawaran parti politik seperti membuat liputan langsung EPL di RTM, mengurangkan kos internet dan membina rumah kos rendah adalah tawaran menambahkan kos kerajaan yang sudahpun tenat kerana perlu menampung kos sektor awam dan pencen yang sentiasa meningkat saban tahun.

Dari sudut pendapatan pula, parti politik menawarkan penghapusan GST, memberikan lesen motor percuma, mengurangkan duti eksais kereta dan sebagainya yang bersifat mengurangkan pendapatan negara yang sudahpun tidak mencukupi untuk menampung kos pembangunan dan operasi negara.

Jadi, bagaimana negara dan rakyat boleh maju dengan pemikiran ahli politik seperti ini? Ahli politik berjanji ikut suka hati sahaja tanpa sebarang kajian ataupun analisa, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum.

Maka, tidak hairanlah mengapa Felda yang sebegitu hebat suatu ketika dulu menjadi teruk setelah dipimpin ahli politik.

Sepatutnya, parti politik menawarkan strategi untuk memastikan pendapatan rakyat bertambah lebih cepat daripada peningkatan kos agar kehidupan rakyat di Malaysia terus selesa. Ini tidak, semuanya terbalik kemudian kedua-dua pihak saling menyalahkan satu sama lain apabila rakyat hidup susah sehinggalah pilihan raya umum akan datang.-FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here