Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman hari ini mempertahankan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang dihantar ke Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) di pantai timur negeri itu, selepas kritikan Datuk Seri Shafie Apdal yang mendakwa mereka hanya bagus untuk mengawal trafik dan orang ramai.

Tanpa menyebut nama Shafie, Musa secara terbuka mengkritik presiden Parti Warisan Sabah itu yang memperlekehkan Rela dengan berkata, beliau turut mendapat manfaat daripada perkhidmatan anggota Rela ketika berada dalam kerajaan.

“Seorang pemimpin politik pembangkang berani memandang rendah Rela dan video beliau memperlekehkan kemampuan pasukan sukarelawan ada di sana untuk semua orang melihatnya.

“Beliau kata Rela tidak tahu cara menggunakan senjata api, bom dan apa yang mereka tahu ialah mengawal trafik di jalan dan ketika kenduri kahwin.

“Sebagai pemimpin, saya tidak pernah memperlekehkan Rela. Ini bukan cara dan budaya kita untuk memperkecilkan orang lain, lebih-lebih lagi Rela. Tidak kira kecil atau besar, sumbangan Rela penting kerana mereka memberi perkhidmatan demi kebajikan rakyat.

“Ketika beliau menjadi menteri persekutuan, beliau mendapat bantuan Rela, oleh itu beliau tidak patut sombong,” katanya selepas majlis pelancaran penugasan anggota Rela di Esszone di Pusat Latihan Rela Negeri Sabah di Tuaran, hari ini.

Kira-kira 1,000 anggota Rela yang menghadiri majlis itu, bersorak ketika Musa mengkritik bekas naib presiden Umno berkenaan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Rela, Zulkifli Abidin menggesa anggotanya membuktikan keikhlasan mereka dalam menjalankan tugas.

“Apa salahnya dengan melakukan kawalan dan menjaga lalu lintas jika ia demi kesejahteraan rakyat? Tidak perlu hina kami. Saya gesa semua anggota Rela membuktikan dakwaan itu salah.

“Ketika berdepan bahaya dan musuh, Rela tidak akan berganjak. Kami akan terus memberi perkhidmatan kami dengan penuh kesetiaan.”

Satu rakaman video yang tular di laman sosial Isnin lalu dikatakan mengandungi kenyataan Shafie ketika berucap dalam program Bicara Presiden Warisan di Tuaran, Ahad lalu.

Klip itu dimuat naik sebuah portal berita tempatan dengan keterangan “Shafie Apdal hina 3.05 juta anggota Rela”.

Ia mendapat lebih 50 komen setakat Selasa lalu, termasuk salah satunya daripada Mohd Jagoan yang cuba menjelaskan konteks ucapan Shafie.

Beliau berkata, sebenarnya Shafie tidak menghina anggota Rela, tetapi hanya mempersoalkan kesungguhan kerajaan dalam melindungi Esszone.

“Kenapa bergantung kepada Rela apabila kerajaan boleh memberi kuasa kepada Esscom (Keselamatan Keselamatan Timur Sabah)? Di manakah (batalion) tentera yang dijanjikan untuk menjaga Esszone?

“Anggota Rela, jika benar mereka terbabit secara langsung dalam melindungi Esszone, perlu menuntut kenaikan gaji atau gaji sepenuh masa daripada kerajaan, bukannya mengecam Shafie,” katanya.

Satu laporan polis dibuat terhadap Shafie oleh seorang anggota Rela di Tawau yang menggesanya memohon maaf kerana memperkecilkan pasukan itu.

Susulan itu, timbalan Presiden Warisan, Darrell Leiking turut mempertahankan Shafie dengan berkata, kenyataan pemimpin parti berkenaan berhubung perkara itu diambil di luar konteks.

FMT menghubungi Shafie untuk komen dan sedang menunggu jawapannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here