Sabah maju dengan baik di bawah kepimpinan berwibawa Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, kata perdana menteri.

Datuk Seri Najib Razak berkata beliau menyokong penuh kepimpinan Musa, dan menambah ketua menteri itu melakukan segala kemungkinan untuk membangunkan Sabah.

“Saya menyokong sepenuhnya usaha Musa mentransformasikan Sabah,” kata Najib semasa merasmikan SMK Bandau di Kota Marudu hari ini.

Beliau berkata hubungan kerja yang rapat antara Putrajaya dan negeri membolehkan kerajaan persekutuan merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung.

Najib berkata kemajuan Sabah boleh dilihat di Kota Marudu, dan yakin kerusi Parlimen itu akan terus bersama Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Terdahulu, semasa melawat daerah Nabawan, perdana menteri berkata kerajaan BN terus membuktikan keupayaannya dan membawa kemajuan kepada Malaysia.

“Kerajaan BN tidak cakap sahaja atau membuat janji kosong seperti parti pembangkang, tetapi bekerja keras memenuhi aspirasi rakyat, termasuk membawa pembangunan ke masyarakat di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau mengingatkan rakyat bahawa parti pembangkang hanya pandai memberikan janji kosong hanya kerana mahu berkuasa.

“Kita mesti tengok ke depan, bukan saja untuk hari ini tetapi juga 30 tahun akan datang, melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.

Najib berkata pelan pembangunan negara yang dirangka melalui TN50 untuk masa depan generasi muda hari ini dan masa depan.

Misalnya, pelaksanaan beberapa fasa Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM20 bilion di Sabah, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah yang akan siap pada Oktober dan projek eko-pelancongan di Tanjung Aru melalui geran RM500 juta kepada Sabah.

Di samping itu, kerajaan turut meluluskan RM1 bilion untuk Sabah di bawah Bajet 2018 untuk baikpulih sekolah bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa untuk para pelajar.

Najib berkata semua itu dilaksanakan melalui pembangunan inklusif supaya masyarakat luar bandar boleh maju seperti saudara mereka di pusat bandar.-FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here