ALOR SETAR – Kritikan secara terbuka oleh Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin terhadap Menteri Besar Kedah mencetuskan semula spekulasi bahawa Mukhriz bakal dipecat dari jawatan Menteri Besar.

Kenyataan Ahmad melalui sebuah video meminta Mukhriz meletakkan jawatan, selain mendakwa Mukhriz gagal mentadbir kerajaan negeri, kini viral di laman sosial sekali gus mengundang pelbagai tanggapan konon kedudukan Mukhriz kini goyah. Kini ditambah pula dakwaan Mukhriz dan beberapa pemimpin Umno lain tersenarai dalam rombakan pemecatan jawatan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Mukhriz ketika ditanya berhubung perkara itu menyifatkan ia sebagai berita yang belum sahih.

“Macam-macam senarai ada, selagi tidak menjadi kenyataan, saya tak boleh respons. Saya sendiri ada lihat macam-macam yang disebarkan melalui laman sosial,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-32 Pertubuhan Peladang Negeri Kedah di Dewan Kolej Universiti Insaniah, semalam.

Mukhriz yang juga Pengerusi Umno Kedah berkata, setakat ini, beliau belum menerima makluman pemecatannya sebagai Menteri Besar Kedah atau digantikan menjelang akhir bulan ini.

“Pucuk pimpinan parti tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara ini. Saya tidak boleh terima komen-komen dari Facebook atau maklumat dan berita yang tidak disahkan,” katanya. – SINAR HARIAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here