Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui beliau berdepan dengan krisis identiti apabila berada di luar negara.

Anak sulung bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata dirinya malu untuk mengakui berasal dari Malaysia selepas imej negara di mata dunia semakin tercalar.

Menurut laporan Sinar Harian, Mukhriz berkata beliau sedih apabila Malaysia kini hanya dikenali akibat salah laku pemimpin negara dan bukannya kerana kemajuan.

“Waktu pi (pergi) luar negara atau umrah dan ditanya dari negara mana, saya malu mengaku dari Malaysia, tapi jawab dari Brunei.

“Bila jawab Malaysia, orang akan tanya kenapa negara cukup bermasalah, dahulu cukup hebat dan gah, tetapi hari ni cukup teruk,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Mukhriz berkata demikian dalam progam Sarapan Pagi bersama penduduk Kampung Jernang, Mukim Bakai di Baling, Kedah, hari ini.

Bekas menteri besar Kedah itu berkata Pakatan Harapan akan memulihkan negara ini dan meletakkan malaysia di landasan yang betul.

Katanya, antara agenda penting HARAPAN ialah menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat, dan bukannya warga asing.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun mendakwa bapa Mukhriz merekayasa tuduhan palsu berhubung rasuah terhadapnya dengan tujuan menumbangkannya.

Penyokong Najib mendakwa bahawa Mahathir melakukan semua ini untuk membuka jalan bagi membolehkan Mukhriz menjadi perdana menteri. – MALAYSIAKINI –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here