pakatan harapan

Tan Sri Muhyiddin Yassin Presiden Bersatu, dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Johor, semalam.

Pemilihan sebulat suara daripada DAP, PKR, serta Amanah selepas mesyuarat peringkat negeri pertama diadakan di pejabat Bersatu Johor.

Salehuddin Ayub Timbalan Presiden Amanah, pula dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Johor.

Ditanya sama ada pelantikan Muhyiddin membawa makna beliau bakal dinamakan sebagai Menteri Besar Johor pembangkang sekaligus turut bertanding di kerusi Dun, beliau berkata, perkara itu terserah kepada peringkat pusat.

“Terserah kepada budi bicara dan muafakat antara pimpinan parti-parti yang ada tentang siapa yang akan mengepalai kerajaan ini kalau sekiranya atau bila sampai masanya,” katanya.

Muhyiddin tidak pasti sama ada beliau kekal bertanding di Parlimen Pagoh di kawasan lain pada PRU14 nanti.

“Itu kita akan putuskan. Sehingga hari ini saya ada di situ (Pagoh), saya masih lagi wakil rakyat serta pengerusi Bersatu Pagoh. Ramai orang suka saya di Pagoh.

“Jadi, ia akan diputuskan bila sampai masa yang sesuai. Saya kira bukan sahaja di Pagoh, tetapi kerusi-kerusi lain juga,” katanya.

Ujarnya lagi, beliau masih menerima sokongan padu daripada penduduk di kawasan Pagoh sendiri dan terserah kepada kebijaksanaan rakyat untuk menilainya.

“Ini terbukti apabila saya menubuhkan parti di Pagoh kerana saya menerima sokongan yang luar biasa apabila turun ke bawah. Tidak mengapa kalau andaian Umno yang saya tiada penyokong, baguslah.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk menilainya kerana mereka tahu saya yang membantu membangunkan Pagoh. Saya yakin, orang Pagoh lebih tahu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here