KTMB

Agak mengecewakan untuk kita mempunyai pemimpin yang berdiam diri dan tidak bersuara untuk membetulkan keadaan yang disifatkannya sebagai salah ketika sedang berkuasa, tetapi sebaliknya memilih untuk lantang bercakap dan mengkritik termasuk melontar janji-janji tidak pasti untuk memperbetul keadaan ketika sudah berada di barisan pembangkang. Malah apa yang dicadangkan juga boleh dipertikaikan kerana kemungkinan besar itu ialah helah untuk memenangi undi semata-mata.

Ini yang berlaku kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila dalam satu kenyataan media baru-baru ini memaklumkan Pakatan Harapan (PH) akan menyemak semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan meneliti semua urusan berkaitan dengan industri kereta api termasuk mahu mengekalkan pengendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan membatalkan Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA) antara Perbadanan Aset Kereta Api dan KTMB.

Muhyiddin memaklumkan PH juga jika diberi mandat sebagai Kerajaan nanti akan mengembalikan aset RAC kepada KTMB dan membuka tender secara telus bagi urusan perolehan bagi hal berkaitan asset dan perkhidmatan KTMB.

Muhyiddin juga kononnya dengan tegas mahu mempertahankan legasi KTMB dan mahu menawarkan penyelesaian yang memberi keuntungan kepada lebih 6,000 kakitangan KTMB. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga menganggap langkah Kerajaan dalam menguruskan KTMB sekarang sebagai tidak tepat dan boleh menyebabkan syarikat berkenaan gagal bertahan serta tidak mampu menjana keuntungan tinggi.

Beliau menganggap langkah pemindahan dan pengawalan aset KTMB oleh RAC sebagai hanya membunuh KTMB. Malah kenyataan Muhyiddin ini juga mendapat sokongan Presiden Kesatuan Sekerja KTMB, Abdul Razak Md Hassan yang mengharapkan PH akan menjadi Kerajaan supaya semua kakitangan di bawah KTMB dapat diserapkan kembali sebagai kakitangan awam di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam.

Namun begitu satu perkara yang menyedihkan ialah RAC bukan ditubuh di bawah pentadbiran Kerajaan sekarang, tetapi sebaliknya Perbadanan ini ditubuhkan pada 1 Ogos 1992 serentak dengan program penswastaan besar-besaran yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui Dasar Penswastaan Negara.

Pada ketika itu, Kerajaan melihat usaha mengkorporatkan pentadbiran KTMB yang sebelum itu dikenali sebagai KTM penting untuk memastikan industri kereta api negara berkembang maju dan mampu meningkatkan daya saingnya sendiri. Namun yang menghairakan sekarang, menurut Muhyiddin, dasar penswastaan ini tidak sihat untuk KTMB.

Sehubungan itu, punca segala-galanya bukanlah berlaku sekarang, tetapi dimulakan oleh pentadbiran Tun Dr. Mahathir. Namun, PH melalui Muhyiddin Yassin cuba mengalih perhatian dengan meletakkan beban di bahu pentadbiran semasa.

Jelas sekali, Muhyiddin seperti tidak bertanggungjawab dalam kenyataannya dan sewajarnya beliau meneliti dahulu susur galur sesuatu hal sebelum membuat kenyataan seperti ini. Apa pula yang dilakukan Muhyiddin semasa berada dalam pentadbiran Tun Dr Mahathir dan YAB Perdana Menteri sekarang? Apakah ketika dalam Kerajaan, Muhyiddin tidak memikirkan nasib industri kereta api negara yang menanggung sengsara akibat dasar penswastaan yang gagal ketika era Tun Dr Mahathir?

Lebih menghairankan Presiden Kesatuan Sekerja KTMB juga mengharapkan PH menjadi Kerajaan dan mengembalikan kakitangan KTMB sebagai kakitangan awam, seperti sebelum tahun 1992. Namun, sedarkah beliau bahawa individu yang mengkorporatkan industri kereta api negara, menubuhkan RAC dan yang menetapkan dasar penswastaan ini kini menjadi Pengerusi PH?

Ini ialah penyakit ketara dalam pentadbiran dan politik negara, kita hanya berani bersuara apabila telah tidak berkuasa dan menggunakan segala isu untuk memancing undi apabila kita berada di pihak lain sedangkan isu-isu yang dibangkitkan itu boleh diselesaikan semasa kita berada dalam pentadbiran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here