Barisan – barisan artis terkenal terdiri daripada Sekai No Owari, kumpulan J-Pop popular dari Jepun, barisan wanita Apink yang mencairkan hati, puteri pop remaja Carly Rae Jepsen dan akhir sekali Jason Derulo, penyanyi pop Amerika Syarikat yang merupakan salah seorang bintang yang sedang bersinar untuk sebuah majlis seperti MTV World Stage Malaysia 2015, barisan selebritinya bukan biasa-biasa.

Ternyata kemunculan artis yang mempunyai rangkaian peminat tersendiri itu berjaya menarik pengunjung ke konsert yang berlangsung pada 12 September lalu di Sunway Lagoon meskipun keadaan jerebu di Selangor masih berada pada tahap yang membimbangkan.

Dengan pentas berkonsepkan futuristik yang tersergam di Surf Beach Sunway Lagoon, hurungan peminat yang seperti semut mencari gula boleh dilihat seawal pukul 5 petang dan ada di antara mereka begitu bersemangat membawa poster, sepanduk serta memakai baju kelab peminat artis masing-masing.

Walaupun terpaksa menunggu hampir tiga jam, ia langsung tidak menjadi satu alasan untuk meruntunkan kesabaran peminat bagi melihat artis kesayangan mereka.

Tepat pada masanya, hos MTV World Stage Malaysia tahun ini, VJ Han Li dan Allan Wong dari Hong Kong naik ke pentas serta mengalu-alukan kedatangan peminat yang bukan sahaja dari Malaysia malah dari negara jiran seperti Singapura dan Filipina.

Menurut anggaran, malam gilang gemilang itu mencatatkan 20 ribu kehadiran pengunjung MTV World Stage Malaysia bagi tahun kelapan ia dianjurkan.

Tidak konsisten

Untuk pertama kalinya bagi tahun 2015, pemilihan artis Malaysia sebagai pembuka konsert diserahkan sepenuhnya pada peminat yang mengundi selama dua minggu menerusi laman web MTV World Stage Asia dengan hashtag #Malaysia MostWanted.

Hasilnya, penyanyi popular dan juga terkenal dengan gelaran ratu tari, Stacy diberi penghormatan membuat persembahan di pentas yang berprestij itu dengan lagunya Not For Sale sambil diiringi oleh Altimet.

Namun timbul sedikit perasaan terkilan apabila Stacy hanya diperuntukkan satu lagu sahaja pada malam itu. Benar peminat yang datang mahu melihat artis antarabangsa namun tidak salah rasanya jika penyanyi tempatan sekurang-kurangnya menyanyikan lebih daripada satu, seperti Yuna pada tahun lalu yang diberi hampir lima lagu untuk dinyanyikan.

Sebaik sahaja selesai Stacy beraksi, pentas itu diambil alih oleh kumpulan J-Pop, Sekai No Owari yang membawa maksud penghujung dunia. Uniknya mereka ialah salah seorang ahlinya memakai kostum badut yang bertindak sebagai DJ kumpulan.

Walaupun alunan muzik daripada piano dan gitar mereka cukup merdu tapi sayangnya, peminat hanya mengetahui sebahagian sahaja daripada untaian lagu mereka. Daripada empat lagu yang dinyanyikan, hanya lagu terakhir sahaja iaitu Dragon Night yang merupakan single terbaru dan hit mereka yang mendapat reaksi daripada penonton.

Lagu sebelumnya iaitu Anti-Hero, Starlight dan Death Disco hanya mendapat teriakan hambar daripada peminat lalu menjadikan suasana meriah ketika pada awalnya sedikit terganggu.

Namun situasi itu tidak berlarutan apabila kumpulan yang paling dinanti-nanti oleh peminat iaitu Apink, penyanyi berkumpulan wanita Korea Selatan menggegarkan pentas dengan lagu-lagu mereka yang cukup comel lagaknya.

Pelik tetapi benar, penangan demam K-pop sangat menyerlah sewaktu Apink berada di atas pentas apabila peminat tidak berhenti menjerit setiap kali anggotanya bersuara walaupun sekadar mengucapkan ucapan ‘hai Malaysia’.

Apink mendendangkan empat buah lagu bermula dengan single NoNoNo diikuti Mr. Chew, LUV serta Remember. Meskipun lagu mereka hampir keseluruhannya berbahasa Korea namun rata-rata peminat fasih untuk menyanyi bersama-sama.

Tidak cukup dengan itu, ketika mereka sedang asyik menari di atas pentas, penganjur melemparkan belon-belon gergasi berwarna merah jambu ke arah penonton sebagai simbolik kumpulan tersebut.

Tamat segmen pertama dengan penyanyi yang mewakili Asia, tiba masanya pula untuk puteri pop terkenal Carly Rae Jepsen menakluki pentas dan semestinya golongan remaja adalah penonton yang paling teruja.

Tidak dinafikan kehebatan Carly di atas pentas dengan kelincahan dan kelihatan seperti sedang berseronok ketika membuat persembahan cuma pemilihan lagunya sedikit tidak kena.

Tergendala

Bukan kerana ianya sumbang atau tidak sedap didengar tetapi kerana dia menggunakan pentas MTV untuk mempromosikan lagu daripada album terbarunya, Emotions dan menjadikan ramai yang agak terpinga-pinga tatkala cuba mengikuti rentaknya.

Carly menyanyikan hampir sepuluh buah lagu untuk malam itu antaranya ialah Emotions, Tonight I’m Getting Over You, Your Type, I Really Like You, Call Maybe, Let’s Get Lost, Boys Problem dan All That.

Seperti yang dijangka, hanya dua daripadanya iaitu Call Me Maybe dan I Really Like You yang mendapat sorakan.

Pengurusan masa atau interval antara persembahan artis yang tidak cekap seperti sudah menjadi satu perkara wajib setiap kali penganjuran MTV World Stage Malaysia sejak tahun 2007.

Kali ini, untuk persembahan penutup daripada Jason Derulo, penonton dibiarkan tanpa sebarang penjelasan selama hampir 40 minit sebelum acara diteruskan.

Lebih mengecewakan, VJ Han Li atau VJ Allan turut hilang di sebalik pentas dan tidak menggunakan ruang masa itu untuk menenangkan pengunjung atau setidaknya memberitahu apa yang sedang terjadi.

Rupa-rupanya, kumpulan pemuzik Jason Derulo masih dalam proses sound-check dan itu yang membuatkan persembahan artis itu terhenti seketika.

Setelah nama Jason dilaung-laung agar naik ke pentas, beberapa minit kemudian barulah beliau muncul dari bawah pentas, berpakaian serba putih dan menawan pentas MTV malam itu.

Mujur kerana kelewatan Derulo memulakan persembahan boleh dimaafkan apabila beliau menyanyikan 14 buah lagu hit beliau dan diserikan lagi dengan kelincahan tarian yang tidak dapat disangkal.

“Selamat malam Malaysia dan pengunjung MTV World Stage yang cantik-cantik semuanya malam ini. Ini kali kedua saya datang ke negara ini dan saya amat menyukainya,” jerit Derulo ketika waktu selang antara lagu-lagu persembahannya di atas pentas.

Antara rangkaian lagu yang dinyanyikan ialah In My Head, Riding Solo, Trumpet, Talk Dirty, The Other Side, My It Girl, Damn, Wiggle Wiggle, Marry Me, Watchu Say dan Want To Want Me.

Secara keseluruhannya, konsert MTV kali ini boleh dikelaskan sebagai memuaskan namun sedikit kepincangan dari segi pengurusan masa dan keserasian VJ yang bertugas, barangkali boleh diperbaiki untuk acara akan datang.

MTV World Stage Live In Malaysia 2015 akan ditayangkan secara eksklusif di saluran MTV Asia (saluran Astro 713) pada 26 September ini pada pukul 3.30 petang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here