MRT

Malaysia telah menetapkan sasaran untuk menjadi salah sebuah negara terbaik di dunia menjelang tahun 2050 berteraskan kepada agenda-agenda yang terkandung dalam matlamat jangka panjang Transformasi Nasional 2050 (TN50). Terdapat pelbagai petunjuk penting yang memberi gambaran untuk sesebuah negara itu maju dan berjaya. Selain faktor ekonomi, aspek yang turut diambil kira dalam kebanyakan kajian yang dilaksanakan oleh badan-badan utama dunia ialah keupayaan sistem pengangkutan awam yang cekap.

YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat amat bersungguh-sungguh dalam memantapkan sistem pengangkutan awam negara. Berasaskan kepada pembangunan infrastruktur sedia ada, Malaysia kini sedang memacu pertumbuhan sistem pengangkutan awam ke arah lebih cekap dan berkualiti. Baru-baru ini Sistem Transit Aliran Massa (MRT) yang menghubungkan laluan Sungai Buloh-Kajang sejauh 51 kilometer sudah beroperasi.

Jajaran ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk memastikan Malaysia memiliki sistem pengangkutan awam yang disegani menjelang tahun 2050. Kesan langsung terhadap projek ini sebenarnya amat dirasai dan rakyat kini sekurang-kurangnya mempunyai pilihan untuk bergerak ke sesuatu tempat di dalam bandar di samping mampu mengurangkan kos bahan api yang digunakan sebelum ini. MRT ini juga memberikan lebih keselesaan untuk rakyat berhadapan dengan kehidupan seharian.

Walaupun projek MRT ini merupakan sebuah projek yang berimpak tinggi dan jelas mendapat reaksi positif daripada rakyat, terdapat segelintir pihak yang masih cuba mempolitikkan pembinaan MRT ini dengan menganggapnya sebagai gula-gula pilihan raya. Sewajarnya projek ini harus dilihat dari sudut lebih positif sebagai salah satu daripada usaha Kerajaan untuk mengukuhkan kemudahan sistem pengangkutan awam di negara ini yang sudah tentu memberi manfaat besar kepada rakyat.

Ada pula pihak yang mempertikai Kerajaan hanya memberi tumpuan pembangunan seperti ini di kawasan Lembah Kelang dan Kuala Lumpur sahaja dan hal ini sewajarnya dipandang serius oleh Kerajaan. Sistem pengangkutan awam di negeri-negeri lain juga wajar diberi pertimbangan untuk melalui fasa naik taraf dan pembinaan jajaran tren dalam bandar seperti yang berlaku di Kuala Lumpur. Melalui perancangan jangka panjang seperti ini, sudah tentu Kerajaan akan dilihat lebih responsif terhadap keperluan rakyat secara menyeluruh, lantas menepis segala dakwaan tidak benar yang dilontarkan.

Secara umumnya pembangunan MRT di Malaysia bakal menjadi penanda aras kepada kemajuan sistem pengangkutan awam negara dan segala kepincangan yang berlaku sebelum ini boleh diminimakan melalui sistem pengangkutan baru seperti MRT. Namun kekangan yang berlaku kepada bentuk pengangkutan lain termasuk KTM Komuter wajar diberikan perhatian serius. Tatkala kita sedang berbangga dengan ketepatan masa dan kualiti perkhidmatan MRT, Kerajaan wajar meneliti dengan serius pelan perniagaan dan operasi KTM Komuter.

Sehingga kini, masalah ketepatan masa dan kualiti perkhidmatan KTM Komuter ini masih tidak berubah dan berdepan masalah yang sama seperti tren lewat tiba. Isu-isu seperti ini wajar ditangani dan langkah terbaik untuk menyelesaikan hal ini ialah melaksanakan penswastaan penuh terhadap KTM Komuter di samping mengubah secara total struktur operasinya bagi memastikan sistem pengangkutan Komuter ini terus relevan dan sesuai untuk beroperasi dalam jangka panjang.

Rakyat Malaysia harus berbangga dengan kemajuan yang dicapai setakat ini khasnya dalam aspek pengangkutan awam. Perubahan yang sedang berlangsung ini sudah tentu tidak akan terhenti sehingga kini dan pelbagai dinamika yang diharapkan terhadap sistem pengangkutan awam negara wajar diteladani bagi memastikan rakyat beroleh manfaat dan negara mampu mencapai sasaran TN50.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here