Jose Mourinho menghangatkan lagi spekulasi kemungkinan ‘sirih pulang ke gagang’ Cristiano Ronaldo dengan menyifatkan penyerang Real Madrid itu memiliki ciri-ciri pemain yang dikehendaki semua pengurus untuk berada dalam skuad mereka.

Penyerang kebangsaan Portugal berusia 32 tahun itu dikaitkan dengan kepulangan semula ke Manchester United dan Mourinho sudah pun menjelaskan sebelum ini yang dirinya berminat mengikat pemain berkenaan pada musim akan datang.

Laporan di Sepanyol mendakwa Ronaldo akan menyertai United sekiranya Real mampu meyakinkan penyerang Brazil, Neymar untuk berpindah keluar dari Paris Saint-Germain.

United menjual Ronaldo kepada Real dengan rekod pemindahan termahal ketika itu, 80 juta pound (RM442 juta) pada Julai 2009.

Tatkala Mourinho tidak mahu melanjutkan spekulasi, dia memberikan peminat United satu harapan, hari ini.

“Saya fikir pada masa ini Real Madrid bersamanya. Saya fikir saya seharusnya menjadi orang terakhir untuk menambahkan lagi kehangatan (spekulasi) ini,” kata pengurus United itu.

“Madrid tengah tidak senang duduk. Keputusan tidak begitu bagus dan ia adalah kelab di mana saya pernah bekerja selama tiga tahun, saya mengambil berat mengenai kelab itu dan saya adalah orang terakhir untuk menambah rencah ini.

“Jadi bagi mengurangkan sedikit rasa bahang itu, saya fikir Cristiano mempunyai ciri-ciri pemain yang semua pengurus mahukan, semua kelab mahu,” katanya.

“Namun hanya seorang pengurus yang mampu melakukannya, satu kelab saja boleh memilikinya – (Zinedine) Zidane dan Real Madrid, itu yang saya rasa.

“Kami mahu meningkat pada sepanjang masa dan terus menjadi bagus. Kami mahu mencapai impian yang besar. Kami tidak akan berhenti sehingga kami melakukannya.” – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here