Manchester United mengembalikan semula senyuman di wajah Jose Mourinho apabila gol cantik daripada Anthony Martial dan Jesse Lingard mengesahkan kemenangan 2-0 ke atas Everton di Goodison Park, awal pagi tadi.

Kemenangan pada Tahun Baharu itu menyaksikan United kembali merampas tangga kedua Liga Perdana Inggeris daripada Chelsea untuk sekurang-kurangnya 24 jam dan 12 mata ketinggalan di belakang pendahulu, Manchester City.

Tanpa kehadiran Romelu Lukaku yang cedera, Martial memulakan aksi dalam kesebelasan utama dan penyerang Perancis itu memecah kebuntuan pada minit ke-54.

Bergandingan dengan pemain tengah Paul Pogba, Martial dengan bijak mencari ruang di dalam kotak penalti sebelum meledak jaringan kesembilannya musim ini.

Selepas bergelut pada penghujung 2017 dengan melakar tiga keputusan seri berturut-turut, United tampak lebih bersemangat pada perlawanan pertama mereka pada 2018 yang menyaksikan Lingard mengesahkan tiga mata pada minit ke-81.

Pemain sayap itu menewaskan beberapa pemain Everton sebelum melepaskan sepakan lencong dari jarak 18 meter untuk menjaringkan gol keempatnya dalam lima perlawanan terakhir.

Kemenangan jelas menjadi tonik yang sempurna buat Mourinho sejak timbul laporan pengurus United mula kehilangan sokongan daripada pemainnya selepas menggelar mereka ‘kebudak-budakan’ dan ‘tidak matang.’

Malah pengurus kelahiran Portugal itu turut mengakui skuad kendaliannya memerlukan pelaburan yang besar untuk mengejar City.

— AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here