Institut Darul Ehsan (IDE) melalui Pusat Kajian Pembinaan Bangsa berhasrat memperkenalkan satu model politik baharu, selaras dengan Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa, kaum, dan agama.

Pengarah Strategi dan Pembangunan Masyarakat IDE, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, politik di Malaysia ketika ini terlalu bersikap perkauman membezakan rakyat Malaysia daripada pelbagai segi.

“Memanglah kita ada perbezaan agama, etnik dan sebagainya, tetapi ia dipisah-pisahkan dengan begitu tajam, sehingga seolah-olah setiap etnik dan setiap agama itu berada dalam dunia masing-masing,” katanya ketika ditemui pada persidangan meja bulat anjuran IDE, di sini, hari ini.

Menurutnya, situasi di Malaysia tidak sebegitu sebenarnya kerana negara ini sememangnya sudah bersifat berbilang kaum dan moderate (sederhana) sejak awal lagi.

“Entah macam mana pada hari ini kita sudah tergelincir daripada asas-asas tersebut, dan masalah utama ialah politik.

“Apabila orang politik menggunakan ucapan-ucapan perkauman, membuat dasar yang bersifat perkauman maka keadaan menjadi buruk. Ditambah pula ahli politik mencampurkan kaum dan agama, ia menjadi lebih parah,” katanya.

Katanya, tiba masa untuk mencari jalan bagaimana menangani hal ini dan model politik baharu itu lebih insklusif, benar-benar bersifat berbilang kaum, dan moderate.

“Tetapi semua itu akan mengambil masa, sebab itu IDE sedang menjalankan dua projek yg boleh dianggap pelengkap antara satu sama lain, iaitu fiqh hidup bersama dengan aman.

“Satu lagi projek ialah tentang amalan demokrasi. Kalau pun kita tak boleh melahirkan teori atau model politik berbilang kaum dan moderate, sekurang-kurangnya kita nak mempromosi amalan politik merentas kaum, rentas agama supaya rakyat Malaysia boleh bersatu padu, aman dan harmoni,” katanya.

Mengulas tentang perbincangan pada meja bulat pula, beliau berkata, fokusnya adalah tertumpu kepada pemikiran politik berbilang kaum, yang bermatlamat untuk melihat apakah perlakuan politik yang lebih baik kepada rakyat.

Persidangan itu dikendalikan Saifuddin selaku moderator dan dihadiri lebih 30 perwakilan antaranya pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Maszlee Malek, Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, Felow Kanan Ikmas Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Helen Ting Mu Hung dan ramai lagi.-Sinar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here