GERAKAN

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) merupakan antara parti utama dalam komponen Barisan Nasional (BN). Walaupun sering dilihat sebagai didominasi oleh kaum Cina, namun hakikatnya GERAKAN ialah parti pelbagai kaum. Parti ini telah melalui sejarah panjang termasuk pernah bergerak sebagai sebuah parti pembangkang dan kemudian menyertai BN. Parti ini sebenarnya amat sinonim sebagai parti yang menguasai Pulau Pinang satu ketika dahulu.

Tsunami politik semasa pilihan raya umum 2008 melihatkan GERAKAN hilang penguasaan menyeluruh di Pulau Pinang dan DAP mengambil alih dengan kemenangan besar di negeri berkenaan. Penguasaan DAP berterusan pada pilihan raya umum 2013 dan GERAKAN dilihat hanyut serta sukar untuk memberikan persaingan yang diharapkan. Nasib GERAKAN selepas dua pilihan raya umum itu juga tidak lagi kukuh dan sering dilabelkan sebagai parti yang semakin kelam masa depan.

Namun begitu semasa pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan pada 2014, GERAKAN dilihat mula bangkit apabila berjaya merampas kerusi berkenaan dari DAP. Presidennya, Datuk Mah Siew Keong berjaya menewaskan Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238. Siew Keong memperoleh 20,157 undi manakala Dyana mendapat 19,919 undi. Walaupun GERAKAN dilihat mencatatkan kemenangan tipis namun ini merupakan kemenangan berganda kerana jumlah undi DAP di kawasan berkenaan berjaya dikurangkan dengan begitu banyak.

Pada pilihan raya umum ke-13, calon DAP mendiang Seah Leong Peng menewaskan Siew Keong dengan majoriti 7,313 undi. Jelas DAP mula hilang pengaruh di Teluk Intan dan GERAKAN kembali mendapat tempat di kerusi tradisinya sebelum itu. Ini merupakan satu ruang kebangkitan yang tidak wajar disia-siakan oleh GERAKAN dan ruang ini sebenarnya perlu diteruskan dengan lebih giat untuk membuka peluang merampas kembali Pulau Pinang dari tangan DAP.

Seperti kata Siew Keong sebelum ini hanya GERAKAN yang memahami hasrat dan jiwa rakyat di Pulau Pinang dan kata-kata itu perlu dibuktikan dengan perancangan serta gerak kerja yang penuh strategik bagi memastikan kemenangan yang didam-idamkan mampu dicapai. Pengumuman GERAKAN untuk menampilkan lebih 60 peratus muka baru dalam pilihan raya umum akan datang merupakan satu keputusan paling tepat untuk mengembalikan keyakinan rakyat khasnya Pulau Pinang kepada parti ini.

GERAKAN wajar memberi tumpuan untuk memberi laluan kepada golongan muda dan wanita untuk terlibat sebagai calon secara lebih besar dan peningkatan jumlah calon muda dan wanita dari GERAKAN akan membina reputasi lebih baik untuk GERAKAN di samping menyalurkan nafas baru kepada parti berkenaan untuk menyelami kedudukan demokrasi semasa negara.

Rakyat Pulau Pinang kini sedang bergelut dengan tragedi banjir dan rasa percaya terhadap Kerajaan pimpinan DAP kian merosot. Ini merupakan satu kesempatan yang jarang diperoleh GERAKAN dan ini ialah peluang terbaik untuk memenangi semula hati dan emosi rakyat di Pulau Pinang. GERAKAN harus bergerak secara matang dan tidak menjadikan isu-isu ini sebagai bahan politik murahan, tetapi sebaliknya memberi fokus kepada tawaran bentuk pentadbiran baru yang boleh dikemukakan kepada rakyat Pulau Pinang. Aspek pembangunan mapan yang positif yang dibawakan pentadbiran BN di bawah GERAKAN semasa di Pulau Pinang dahulu boleh menjadi penanda aras terpenting untuk mereka memberikan saingan kepada DAP dan seterusnya mendapatkan kembali Pulau Pinang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here