KL2017

ATLET negara berjaya menyempurnakan misi meraih 111 pingat emas biarpun Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur (KL2017) belum berakhir.

Kejayaan misi itu bermaksud pasukan negara secara automatik sudah layak digelar sebagai juara keseluruhan temasya dwi-tahunan itu.

Pingat emas dari basikal sudah cukup untuk memenuhi sasaran pungutan emas negara, dengan Azizulhasni Awang menerima penghormatan apabila beliau berjaya meraih emas ke-111 selepas menjuarai acara 200 meter pecut di Velodrom Nasional di Nilai.

Ternyata misi meraih 111 pingat emas itu bukan angan-angan kosong.

Sewajarnya, rakyat negara ini mengucapkan tahniah kepada semua atlet yang telah berjaya menghadiahkan emas kepada negara.

Bukan masa untuk kita mencari salah atau sesuatu perkara yang tidak kena sepanjang penganjuran Sukan SEA.

Biarlah Sukan SEA ke-29 menjadi sejarah bermakna bukan sahaja kepada rakyat malah kepada negara tercinta.

Tambahan lagi, bulan ini merupakan bulan yang cukup bermakna iaitu sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Mengenai Sukan SEA

Tahun 2017 merupakan kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah selepas pertama kalinya pada 1965 sebelum disusuli pada 1971, 1977, 1989 dan 2001.

Sukan SEA paling diingati

Namun, Sukan SEA 2001 pasti akan menjadi ingatan bukan sahaja kerana Kuala Lumpur menjadi tuan rumah tetapi juga kerana pencapaian 111 pingat emas yang diraih oleh atlet negara.

Pungutan pingat itu sekali gus merupakan pungutan tertinggi pembabitan kontinjen negara di temasya dwitahunan rantau ini.

Pada temasya 2001, kontinjen negara mencatat 75 pingat perak dan 85 gangsa dan peningkatan terus dicatat oleh atlet negara pada temasya Sukan Sea seterusnya.

Sementara itu, Sukan SEA Vietnam pada tahun 2003 menyaksikan Malaysia memungut 43 pingat emas diikuti dengan 61 pingat emas di temasya Manila 2005.

Bagaimanapun, pencapaian terbaik negara di luar Kuala Lumpur ialah di Sukan SEA Korat 2007 apabila meraih 68 pingat emas, 52 perak dan 96 gangsa.

Penantian 20 tahun berbaloi.

Bagi pencinta sukan bola sepak pastinya mengingati detik sejarah di Sukan SEA Laos 2009 apabila pasukan bola sepak negara menamatkan penantian kilauan pingat emas selama 20 tahun dengan memenangi ibu segala pingat emas temasya berkenaan.

Secara keseluruhan jumlah pungutan pingat emas merosot kepada 40 pingat emas sahaja kerana kurangnya jumlah sukan yang dipertandingkan selain tuan rumah mempertaruhkan banyak jenis sukan tempatan.

Pada tahun 2011, Sukan SEA yang berlangsung Jakarta dan Palembang, Indonesia pula menyaksikan negara memungut 58 pingat emas dan paling menggembirakan ialah apabila berjaya mempertahankan pingat emas sukan bola sepak, apabila menewaskan pasukan tuan rumah di final.

Temasya Sukan SEA 2013, Nay Pyi Taw, Myanmar pula menyaksikan kontinjen negara telah melepasi sasaran dengan meraih 43 pingat emas, 38 perak dan 77 gangsa. Namun, Malaysia kehilangan 28 pingat emas ekoran daripada pihak tuan rumah yang tidak mempertandingkan sukan-sukan yang menjadi kekuatan kontinjen Malaysia.

Temasya Sukan SEA/SEAP merupakan temasya sukan dwitahunan yang dipertandingkan di antara negara-negara anggota Persekutuan Sukan SEA (SGF).

Sebanyak 10 negara menjadi anggota dan temasya ini juga turut menjemput Negara Timor Leste untuk turut mengambil bahagian.

Temasya ini telah dianjurkan sejak tahun 1959 yang dikenali sebagai Sukan Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) telah ditukarkan nama kepada Sukan SEA apabila Indonesia, Brunei Darussalam dan Filipina menganggotai Persekutuan Sukan SEA (SGF) pada tahun 1977.

Temasya ini dianjurkan secara bergilir-gilir di antara negara-negara SGF.

Bersama kita mencari kesepakatan pada penganjuran KL2017 kali ini.

Di sebalik penganjuran sukan ini, pasti ada cacat celanya, apa yang penting ambil iktibar dan memperbaikinya pada masa akan datang.

Apa yang penting, sasaran 111 pingat emas tidak akan berjaya dicapai tanpa usaha dan komitmen tinggi yang diberikan oleh setiap atlet negara.

Tidak ketinggalan barisan kejurulatihan yang banyak memberikan tunjuk ajar.

Bangkit Bersama dan tahniah kepada atlet KL2017 kerana sasaran 111 pingat emas telah berjaya dicapai.

Impian kita kini jadi kenyataan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here