KENYATAAN Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) P. Waythamoorthy mengenai kesediaan gerakan itu untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang pilihan raya umum (PRU) kelak tidak sama sekali mengejutkan. Rakyat secara amnya hanya menantikan tarikh dan waktu untuk pengumuman itu dibuat setelah satu perjumpaan antara Waytha dengan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dibuat sekitar Ogos yang lalu.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua personaliti ini dikatakan membincangkan prospek gerakan hak asasi Hindu itu untuk menyertai gabungan pembangkang bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada PRU-14. Untuk rekod, pada ketika ini, PH masih belum mempunyai mana-mana rakan komponen yang secara majoritinya mewakili kaum India. Kerjasama politik HINDRAF-PH dipercayai akan sedikit sebanyak memberikan nilai tambah kepada blok pembangkang tersebut. Malah, dalam perkembangan terbaru, Waytha sendiri menyuarakan hasratnya agar PH memberikan laluan kepada HINDRAF untuk bertanding di kerusi-kerusi yang dirasakan tidak mampu ditawan pakatan pembangkang itu.

Apa pun, alasan yang diberikan Waytha mengenai kerjasama dengan PH adalah satu alasan yang sangat ‘cliché’, iaitu kerana tidak berpuas hati dengan gejala rasuah dan kleptokrasi yang disifatkan berleluasa dalam kerajaan dan kepimpinan negara yang sedia ada. Tambah beliau lagi, langkah kerajaan memperkenalkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (Malaysian Indian Blueprint – MIB) hanyalah satu umpanan dan pembohongan politik demi kelangsungan kerajaan dalam mendepani PRU tidak lama lagi, Soalnya, benarkah begitu?

MIB Dan Masa Depan Yang Lebih Terjamin

Bertindak sebagai satu dokumen rasmi dan pelan tersusun untuk pembangunan masyarakat India bagi tempoh 10 tahun yang akan datang, MIB secara rasminya dilancarkan YAB Perdana Menteri pada 23 April 2017 dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion. Dengan komposisi sebanyak lebih 7 peratus, kaum India di Malaysia sememangnya memainkan peranan yang sangat penting dalam agenda pembangunan negara dan untuk itu, kebajikan mereka dalam pelbagai aspek kehidupan tidak boleh dikesampingkan.

Pelan ini antara lain merangkumi Skim Pinjaman Pelaburan Khas bagi 100,000 isi keluarga, daripada keluarga B40 iaitu sebanyak RM500 juta, kemasukan kaum India ke dalam perkhidmatan awam dan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) masing-masing sebanyak tujuh peratus, penubuhan Tabung Khas bagi Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah Tamil sebanyak RM50 juta, Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India juga sebanyak RM50 juta selain pengagihan khas Unit Amanah Saham 1Malaysia.

Nyatalah, dalam keadaan ekonomi global yang penuh mencabar pada hari ini, kerajaan pusat tetap menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi untuk membangunkan status sosio-ekonomi masyarakat India, sekaligus memperlihatkan kecekapan dan pengalaman luas BN dalam memahami denyut nadi komuniti ketiga terbesar negara itu. Jadi, jika Waytha begitu cepat menuduh kerajaan hanya memberi jani palsu kepada kaum India melalui MIB, maka beliau juga perlu mendatangkan bukti apakah pula kebaikan dan harapan yang boleh diletakkan masyarakat India di bahu pembangkang? Adakah PH sendiri sudah mempunyai pelan yang khusus bagi tujuan pembangunan masyarakat India di negara ini? Malangnya kita lihat sehingga kini PH tidak ada sebarang perancangan yang spesifik untuk tujuan itu.

Mengenali Waythamoorthy

Waytha sendiri adalah personaliti politik yang pernah menggemparkan negara. Biarpun mengepalai HINDRAF yang dilihat sangat vokal dalam tuntutan mereka terhadap kerajaan sehingga menjadi antara faktor terpenting menumbangkan pengaruh BN pada PRU-12 yang lalu, Waytha akhirnya bersetuju menyertai kabinet Dato’ Sri Najib Razak pada Mei 2013 sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum melepaskan jawatannya itu pada awal 2014. Perletakan jawatannya ketika itu sangat berkait rapat dengan kegagalannya memperjuangkan nasib dan kebajikan masyarakat India – satu kegagalan yang telah beliau halakan puncanya kepada pentadbiran Najib.

Biarpun menyedari kerajaan mempunyai sistem penyampaiannya yang tersendiri, Waytha dikatakan pada ketika itu begitu berkeras untuk memecah tradisi tersebut dengan menuntut pelbagai bajet program dan inisiatif yang ketika itu mencecah lebih RM4 bilion diletakkan dibawah kawalan beliau, sesuatu yang secara terang-terangan menyalahi norma dan amalan biasa kerajaan. Malah, sepanjang keberadaan beliau dalam kabinet Najib, satu Jawatankuasa Pemandu telah ditubuhkan kerajaan bagi mengkaji isu-isu berkaitan masyarakat India yang dipengerusikan oleh Tan Sri Nor Mohamed Yackob. Jawatankuasa itu walau bagaimanapun menemui jalan buntu setelah Mohamed meletakkan jawatannya ekoran tindakan Waythamoorthy yang tidak pernah menunjukkan komitmen serius untuk hadir dalam mesyuarat bagi menjayakan jawatankuasa tersebut.

Kekuatan Tersendiri MIC Dan HINDRAF

Meneliti hakikat tersebut, persoalan yang lebih wajar diajukan adalah; adakah Waytha sememangnya memperjuangkan nasib masyarakat kaum India? Atau adakah beliau sebenarnya menggunakan alasan tersebut untuk mengejar kepentingan politik peribadi? Waytha sudah pun diberikan peluang untuk berada dalam saf kepimpinan kerajaan bagi memperjuang dan mengetengahkan agenda kaum India, namun ternyata beliau mensia-siakan peluang tersebut apabila langsung tidak mahu bertolak ansur dalam tuntutannya terhadap kerajaan. Cara beliau bekerja tidak langsung mencerminkan ciri-ciri seorang “team player”, dan ianya adalah satu perkara yang menarik untuk kita perhatikan sejauh mana pula PH mampu bertahan dengan karenah beliau.

Menjelang PRU yang perlu dipanggil tidak lama lagi, baik MIC mahupun HINDRAF kedua-duanya disifatkan mempunyai kekuatan tersendiri dalam menarik sokongan kaum India. Walaupun sebelum ini kekuatan sokongan terhadap HINDRAF disifatkan jauh mengatasi MIC, pendirian Waytha dan kepimpinan HINDRAF yang lain yang nampaknya mudah beralih arah seperti lalang layaknya telah sedikit sebanyak menzahirkan kekecewaan dalam kalangan sebahagian penyokong gerakan Hindu tersebut. Jika Waytha mampu mengkhianati pembangkang pada PRU-13 yang lalu, maka tidak mustahil beliau mampu mengulangi tindakan yang serupa kali ini.

Masyarakat India Perlu Ambil Iktibar

Tambahan pula, sejarah Waytha dalam kabinet kerajaan memperlihatkan sisi angkuh dan ego beliau. Hakikatnya, beliau dan HINDRAF sendiri perlu sedar bahawa pengundi kaum India hanya mewakili peratusan kecil pengundi dalam mana-mana kawasan sekalipun. Jadi, Waytha tidak perlu bercakap besar seolah-olah beliau mampu membantu ke arah kemenangan PH. Realiti yang ada adalah, tanpa undi serta sokongan kaum Melayu dan Cina, baik HINDRAF mahupun MIC kedua-duanya bakal tumbang. Cuma bezanya, di sebalik kemerosotan prestasi, MIC tampak terus relevan memperjuangkan nasib kaum India dan hasilnya jelas terpampang dalam sistem penyampaian kerajaan. MIB yang dilancarkan YAB Perdana Menteri mungkin perkara terbaik yang pernah kaum India terima sejak berdekad-dekad lamanya.

Bagi HINDRAF pula, pergerakan itu cuma dilihat mengambil kesempatan ke atas situasi MIC yang dilihat kurang popular sebelum ini. Mendepani PRU kelak, Waytha dipercayai akan terus menggunakan pengaruhnya dengan apa cara sekalipun bagi memastikan pengundi kaum India, khususnya di kawasan-kawasan pedalaman, mengundi menyokong PH. Tetapi percayalah, selagi mana Waytha terus berpolitik demi kepentingan peribadinya sahaja, dan selagi mana beliau tidak belajar untuk menundukkan sisi angkuh dan ego beliau, penyokong HINDRAF akan mendapati bahawa sokongan mereka terhadap pergerakan itu dan Waytha sendiri tidak akan berakhir dengan baik. Tidak seperti apa yang telah kerajaan buktikan dengan pelancaran MIB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here